SEREMBAN: Mengambil penilaian risiko keadaan penularan Covid-19 yang masih membimbangkan, ahli jawatan kuasa sebuah surau di Senawang dekat sini mengambil keputusan untuk menangguhkan program ibadah korban di surau tersebut sempena sambutan Aidiladha bulan hadapan.
Pengerusi Surau at-Taufiqiah, Taman Pinggiran Senawang, Kamarul Rizduan Mohd. Zain berkata, walaupun pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti ibadah korban dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu, pihaknya sepakat untuk menangguhkan program tersebut walaupun saban tahun ia sentiasa mendapat sambutan daripada jemaah.
Tambahnya, penangguhan itu juga mengambil kira kawasan taman perumahan itu kebanyakan penduduknya bekerja dalam sektor perkilangan, malah, sehingga kini, sebanyak 49 buah keluarga telah disahkan positif Covid-19.
“Penangguhan ini tidak dapat dielakkan walaupun tradisi korban telah dilaksanakan di surau sejak tahun 2006 lagi dengan bilangan sekitar lapan ke 10 ekor lembu korban setiap tahun.
“Tahun lepas, kita buat ibadah korban membabitkan lapan ekor lembu. Kali ini, terdapat 56 peserta sudah menjelaskan bayaran sebanyak RM700 setiap seorang untuk melakukan ibadah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program pengedaran barang makanan harian kepada keluarga yang dikuarantin susulan positif Covid-19 di Taman Pinggiran Senawang, dekat sini hari ini.
Tambahnya, walaupun ditangguhkan, pihaknya memberi pilihan kepada peserta sama ada untuk mendapatkan kembali pulangan duit masing-masing atau jawatan kuasa surau akan membantu peserta menguruskan ibadah korban di luar negara.
Sementara itu, Kamarul Rizduan berharap supaya golongan imam dan ahli jawatan kuasa masjid dan surau dapat juga diberikan keutamaan supaya dapat menerima lebih awal pemberian suntikan vaksin Covid-19.
“Golongan ahli jawatankuasa masjid dan surau rata-ratanya sudah sudah berusia serta memerlukan perlindungan vaksin. Mereka ini sentiasa terkehadapan dalam membantu memberikan sumbangan seperti makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah.
“Seperti kami sendiri sebagai jawatan kuasa surau telah mengambil inisiatif membantu mangsa Covid-19 di taman kami bermula 7 Jun lalu, namun, dianggarkan tidak sampai 10 peratus pun jawatan kuasa kami yang seramai 30 orang ini telah mendapat suntikan vaksin,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE