Surat saksi rentas negeri palsu boleh dibeli RM200 - Utusan Malaysia

Surat saksi rentas negeri palsu boleh dibeli RM200

SURAT panggilan saksi yang dipalsukan sebelum dijual kepada orang ramai bagi tujuan merentas negeri di Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan dan pemalsuan surat panggilan saksi yang dikeluarkan oleh pegawai penyiasat polis bagi tujuan merentas negeri untuk dijual dalam laman sosial WeChat pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sebuah pasar raya di Plaza Kesidang, Kampung Lapan, Melaka pada pukul 9 pagi.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan oleh suspek untuk berkomunikasi dengan pelanggan melalui WeChat berkaitan aktiviti jenayahnya itu.

Beliau berkata, tangkapan tersebut dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat  berkaitan dengan satu iklan yang dimuat naik dalam akaun WeChat yang menawarkan penjualan surat panggilan saksi untuk menghadirkan diri ke IPD Kuala Muda.

“Surat terbabit dijual dengan harga RM100 hingga RM200 sekeping,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, pada asalnya surat panggilan saksi ini dikeluarkan oleh pegawai penyiasat kepada satu penama beralamat di Ipoh, Perak yang dipanggil untuk membantu siasatan kes  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya,  surat tersebut telah dipalsukan oleh suspek untuk dijual kepada orang ramai yang memerlukan bagi kegunaan merentas negeri.

“Kegiatan sindiket ini terbongkar selepas  suspek tersebut ditahan dan polis masih giat menjejaki rakan-rakan sejenayah suspek.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 19 rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah penipuan menawarkan pinjaman wang melalui online yang tidak wujud di sekitar Lembah Klang dan pernah ditangkap serta telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau menambah, polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes ini dan kes  disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.