Sudah ‘kantoi’ seks bebas lapor polis kena rogol - Utusan Malaysia

Sudah ‘kantoi’ seks bebas lapor polis kena rogol

BERMULA dengan suka sama suka, boleh membawa kepada perbuatan jenayah yang merosakkan masa depan remaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah ‘kantoi’ seks bebas buat laporan polis kena rogol. Ini trend jenayah rogol membabitkan remaja ba­wah umur yang dilaporkan berlaku sejak beberapa tahun kebe­la­kangan ini bukannya secara pak­saan namun atas dasar suka sama suka.

Terdapat kes yang dilaporkan melibatkan antara dua individu yang melakukan hubungan seks secara rela namun menjadi rogol berkumpulan apabila mang­sa diugut malah ada juga yang ‘ke­tagih’ sehingga melakukan hu­bungan dengan orang lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan, secara puratanya, daripada 10 kes rogol yang dilaporkan enam daripadanya didapati mangsa telah mengandung.

SITI KAMSIAH HASSAN

Katanya, jenayah yang melibatkan kebanyakan mangsa berusia lingkungan bawah umur 16 tahun hanya terbongkar apabila keluarga mengetahui keada­an diri mereka sehingga melahirkan anak luar nikah.

Menurutnya, terdapat juga kes dikesan apabila ibu bapa mangsa menemukan pil pencegah kehamilan yang disorok.

“Kebanyakan suspek terdiri daripada individu dikenali antaranya teman lelaki dan rakan malah ada mangsa yang mengenali suspek dalam media sosial.

“Pada awalnya, mangsa akan berkenalan dengan suspek, kemudian berjumpa dan sete­rusnya melakukan hubungan seks. Ada antara suspek turut merakam perbuatan itu sebagai umpan untuk mengugut mang­sa bagi melakukan perbuatan tersebut kali kedua.

“Jenayah ini mula menjadi rogol berkumpulan apabila ada antara suspek mengajak rakannya untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu selain ada juga mangsa sendiri yang ketagih dan melakukan hubu­ngan dengan orang lain,” katanya dalam temu bual melalui aplikasi Zoom baru-baru ini.

Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 6,071 jenayah rogol dan secara berkumpulan direkodkan sejak tahun 2017 sehingga Mac tahun ini.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 1,582 kes direkodkan pada 2017 diikuti 2018 (1,327 kes), 2019 (1,453 kes) , 2020 (1,368 kes) manakala 341 kes lagi dilaporkan awal tahun ini sehingga Mac lalu.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah memberitahu, trend rogol dilihat amat membimbangkan sejak kebelakangan ini kerana mampu memberi impak negatif terhadap orang muda antaranya ketagihan seks.

Katanya, jika dilihat mangsa rogol bukanlah ditangkap secara rambang, diculik, dikurung kemudian diperkosa.

“Sebenarnya peningkatan kes rogol disebabkan budak-budak sekarang gemar merakam apa yang dilakukan dan mahu tunjukkan kepada rakan kononnya sudah advance daripada rakan lain.

“Hubungan seksual itu di­rakam semasa sedang seronok kerana sikap mereka yang berasa bangga apabila dapat me­lakukan sesuatu yang mendahului rakan-rakan lain tanpa mengambil kira perbuatan itu buruk atau baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Siti Kamsiah, bagi membendung kes seumpama daripada terus berlaku, peranan ibu bapa pen­ting dalam ‘menyelamatkan’ lebih ramai mangsa daripada terjebak dengan kes rogol.

Menurutnya, nasihat daripada ibu bapa di rumah selain melalui ceramah dan kempen yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak sekolah juga dapat menyelamatkan pelajar sekolah daripada masalah itu.

“Dengan teknologi serba canggih sekarang ini, remaja boleh mengenali dan berinteraksi dengan pasangan melalui internet di mana-mana sahaja.

“Kita tak boleh sekat mereka untuk berkenalan dengan sesiapa, cuma pemantauan kerap dilakukan dan mengenali siapa rakan mereka,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN