SPM 2020: Noor Irfa Ain bangkit daripada kesusahan ibu - Utusan Malaysia

SPM 2020: Noor Irfa Ain bangkit daripada kesusahan ibu

Noor Irfa Ain Mokhtaruddin bersama ibunya menunjukkan keputusan cemerlang SPM yang diperoleh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kesungguhan ekoran kesukaran yang terpaksa ditempuh Noor Irfa Ain Mokhtaruddin, 18, termasuk berkongsi telefon bimbit bersama adik-beradiknya berbalas apabila dia memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memberangsangkan.

Dia yang merupakan anak kedua daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir (Model Khas) dekat sini berjaya mendapat keputusan 6 A dan 2 C.

Menurutnya, keputusan tersebut amat menggembirakan, sekali gus diharap dapat membuka jalan untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang peguam seterusnya dapat membalas jasa ibu yang telah membesarkan dia dan adik-beradik lain selepas bapa meninggal dunia 10 tahun lalu.

“Saya daripada keluarga susah, memang nak bantu emak. Emak kerja di kantin sekolah sahaja, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan murid belajar di rumah, kantin tutup dan emak tiada pendapatan, kami hanya berharap bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Saya memang mahu dapat keputusan cemerlang, sasaran saya hanya 5A, Alhamdulillah dapat 6A. Selepas ini saya nak sambung pelajaran ke universiti, mahu ambil jurusan undang-undang sebab cita-cita saya dari kecil mahu jadi peguam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Serting Ilir, dekat sini semalam.

Utusan Malaysia pada 31 Januari lalu melaporkan ibu tunggal, Arfah Baharin, 47, yang berpendapatan sebanyak RM35 sehari sebagai pembantu kantin sekolah tidak mampu menyediakan peralatan yang lengkap dan selesa untuk digunakan lima orang anaknya bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Katanya, dengan jumlah pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian, jauh sekali menyediakan gajet atau telefon bimbit untuk kesemua orang anaknya yang berusia antara 13 hingga 19 tahun.

Sementara itu, Nur Irfa Ain berkata, dia bersyukur pada waktu itu pihak sekolah memberikan tawaran kepada semua pelajar yang akan mengambil SPM untuk tinggal di asrama sekolah tersebut.

“Jadi saya ambil keputusan tinggal di asrama sebab keperluan PdPR tidak cukup di rumah sebab ada empat orang adik-beradik lain yang masih bersekolah dan turut mengikuti PdPR.

“Memang sukar belajar secara dalam talian ini, guru tiada di depan mata, jadi apabila mahu tanya apa-apa soalan agak susah lagipun sesekali sahaja secara langsung dalam talian dengan guru. Apabila di rumah pula, kami hadapi masalah liputan internet yang kurang memuaskan, memang mengganggu sedikit tumpuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya