PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan menjalankan siasatan lanjut susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam program realiti nyanyian, All Together Now terbitan Astro.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, SKMM sebagai badan kawal selia akan menyiasat dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan mungkin akan menjurus kepada pelanggaran SOP ketika rakaman itu dibuat.
“Saya difahamkan, rancangan itu dirakam sebelum pelaksanaan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu sekitar Mac lalu di Putrajaya.
“Malah, rakaman itu juga sudah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi agihan vaksin kepada pengamal media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seroja, Presint 15, di sini hari ini.
Katanya, buat masa ini, Astro menangguhkan tayangan program tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd. Rabin Basir mengarahkan supaya siasatan dilakukan ke atas program hiburan itu atas dakwaan melanggar SOP.
Susulan itu, Astro selaku badan penyiar, menggantung program hiburan All Together Now Malaysia itu sehingga siasatan selesai.
Sejak episod pertama All Together Now Malaysia disiarkan Ahad lalu, netizen mendakwa berlaku perlanggaran SOP dalam program itu berikutan selebriti dilihat tidak memakai pelitup muka.
Program itu menampilkan 50 juri terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelakon, penyanyi dan wartawan. -UTUSAN ONLINE