PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan dadah menggunakan alat permainan terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.
Kegiatan lelaki berusia 24 hingga 32 tahun itu berjaya dihidu pihak berkuasa apabila mereka dikatakan menggunakan perkhidmatan kurier untuk dihantar ke luar negara sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan di Cheras, Jalan Kepong, di sini dan Taman Taming Jaya, Balakong, sebanyak tujuh kotak mengandungi alat permainan dan dua paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin, syabu serta ekstasi bernilai RM42,455 dirampas.
Menurutnya, operasi itu dijalankan selepas polis menerima maklumat daripada seorang pekerja pusat perkhidmatan kurier di Petaling Jaya yang curiga ketika membuat imbasan beberapa kotak berkenaan pada Rabu lalu.
“Hasil risikan, kita menyerbu kedai serbaneka 24 jam di Batu 9, Cheras pada pukul 12.30 tengah hari pada hari sama sebelum menahan seorang lelaki berusia 32 tahun.
“Susulan itu kita menahan dua lagi lelaki berusia 27 dan 24 tahun masing-masing di sebuah kondominium di Jalan Kepong, di sini pada pukul 2 pagi serta Taman Taming Jaya, Balakong pukul 6 petang kelmarin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, turut disita wang tunai berjumlah RM188,942 dan sejumlah mata wang asing selain beberapa barang termasuk tujuh jam tangan pelbagai jenama dan dua kereta dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM1.14 juta.
“Ujian saringan air kencing pula mendapati seorang suspek positif syabu, manakala dua lagi suspek negatif dadah.
“Semakan mendapati seorang suspek turut mempunyai lima rekod jenayah. Semua suspek masih dalam tahanan reman mengikutSeksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE










