PUTRAJAYA: Sabah dan Kelantan antara negeri terendah membuat pendaftaran vaksin Covid-19 iaitu kurang 50 peratus daripada sasaran populasi penduduk negeri itu untuk divaksinasi.
Mengikut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Sabah merekodkan 29.69 peratus atau 818,931 orang manakala Kelantan mencatatkan jumlah 48.81 peratus meliputi 603,389 orang setakat kelmarin.
Jumlah pendaftaran penerimaan vaksin setakat ini berjumlah 15.65 juta dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah mencapai 100 peratus pendaftaran.
Empat negeri iaitu Pahang, Kedah, Terengganu dan Perak pula hampir mencatatkan 60 peratus iaitu masing-masing 59.14 peratus, 59.16 peratus, 57 peratus dan 59.82 peratus dengan jumlah penduduk 695,385; 911,459; 461,019 dan 1.11 juta individu.
Bagi negeri-negeri yang mencatatkan peratusan melebihi 70 peratus ialah Johor dengan jumlah individu berdaftar 1.95 juta, Labuan (54,660 orang), Melaka (493,255), Negeri Sembilan (612,217), Pulau Pinang (991,353) dan Selangor (3,798,260).
Kerajaan menetapkan lima kaedah pendaftaran bagi mempermudahkan orang ramai untuk mendaftar melalui menerusi dalam talian atau secara manual.
Dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my.
Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman. – UTUSAN ONLINE










