KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sudah menjejaki seramai 19,310 penduduk di kawasan pedalaman Sabah menerusi Program Mobile Outeach vaksin Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, sejak dilaksanakan pada 18 Mei lalu, pasukan bergerak yang disertai oleh 20 pasukan itu sudah memasuki 195 lokaliti di 16 buah daerah bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman diberikan vaksin.
“Setakat ini, 19,310 dos pertama vaksin jenis Pfizer dan Sinovac telah diberikan kepada penduduk pedalaman menerusi program jerayawara (outreach) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena majlis penyerahan Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 hari ini.
Jelas Christina, secara keseluruhan Sabah menerima sebanyak 628,390 dos vaksin setakat 28 Jun dan daripada jumlah itu, sebanyak 555,761 dos pertama dan kedua telah diberikan kepada penerima. Masih terdapat baki 72,598 dos yang belum digunakan.
Terdapat sebanyak 152 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah yang melibatkan fasiliti kesihatan termasuk hospital dan klinik swasta serta dewan serta premis swasta yang dijadikan PPV.
Sementara itu, Ketua Menteri menyatakan beliau berpuas hati dengan perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berjalan lancar.
“Berdasarkan taklimat oleh Pengarah Kesihatan Sabah, saya melihat PICK berjalan lancar termasuk program mobile outreach yang turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Saya berharap proses vaksinasi di Sabah akan berjalan dengan lebih lancar lagi termasuk di kawasan pedalaman,” katanya.
Pada majlis sama, Ketua Menteri melakukan pelepasan kenderaan pacuan empat roda bagi pasukan bergerak vaksinasi ke Nabawan untuk membawa vaksin dos kedua ke daerah berkenaan.
Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai one-off RM300 menerusi BSP 3.0 kepada penjaja kecil dan bantuan pembayaran pengurusan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).- UTUSAN ONLINE