PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 680 individu dicekup dengan seramai 659 dikompaun, 24 direman dan seorang dijamin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 184 kes diikuti merentas kawasan dan makan di premis dengan 129 kes.
Katanya, ia disusuli kesalahan lazim iaitu gagal merekod butiran diri (117), tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan PKP (57), membawa penumpang berlebihan (47) dan lain-lain (50).
“Seramai 14 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan enam kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 169 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara kita melalui sembilan aktiviti penglihatan yang dibuat pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 427 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 8,326 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 70 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










