Purata 15 kes sumbang mahram sebulan diterima PDRM - Utusan Malaysia

Purata 15 kes sumbang mahram sebulan diterima PDRM

SITI KAMSIAH HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan mengenai sumbang mahram sejak kebelakangan ini mula mewujudkan kesedaran bahana pelakuan jenayah itu.

Jika sebelum ini, aduan melibatkan pelakuan jenayah tersebut dibuat oleh individu sekeliling seperti keluarga, guru dan rakan-rakan, namun trend mula berubah apabila mangsa sendiri mula tampil membuat laporan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan memberitahu, purata sebanyak 15 kes sebulan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perlakuan jenayah itu sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, perkembangan tersebut menunjukkan mangsa mula mempunyai kesedaran dan tidak lagi merahsiakan perbuatan sumbang mahram yang dilakukan terhadap mereka.

“Setiap bulan pasti ada mangsa yang tampil membuat laporan telah menjadi mangsa ‘pelakuan seks’ oleh individu terdekat dan saya tengok peningkatan ini lebih kepada kesedaran,” kata beliau dalam temu bual baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Siti Kamsiah, berdasarkan statistik mendapati sebanyak 1,197 kes direkodkan sejak 2017 sehingga April lalu.

Kata beliau, sebanyak 300 kes dicatatkan pada 2019 diikuti 2017 (296 kes), 2018 (266 kes), 2020 (259 kes) diikuti awal tahun ini sehingga April lalu 76 kes.

“Bagi tahun ini, terdapat peningkatan kes dilaporkan iaitu sebanyak 14 kes direkodkan pada Januari lalu diikuti Februari (17 kes), Mac (18 Kes) dan April (27 kes).

“Peningkatan ini tidak terlalu ketara memandangkan kes-kes yang dilaporkan pertama kalinya berlaku lima hingga enam tahun sebelum itu,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya menyekat aktiviti seharian tetapi juga membongkar jenayah sumbang mahram.

Ini berikutan, ramai ahli keluarga berkumpul di rumah semasa tempoh PKP memberi peluang mereka menyedari perubahan sikap mangsa seterusnya mendorong kanak-kanak itu membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menjadi bahan ‘pemuas nafsu’ kepada ahli keluarga

Lapor Utusan Malaysia lagi, bapa kandung adalah penyumbang tertinggi kejadian sumbang mahram apabila direkodkan sebanyak 225 kes dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2018.

Dalam tempoh sama, bapa tiri dicatatkan sebanyak 188 kes diikuti bapa saudara 159 kes dan abang kandung 90 kes.

Berdasarkan analisis, isu kurang penghayatan ilmu agama dan tidak memahami aspek tanggungjawab mendorong pelaku bertindak di luar batasan demi memenuhi nafsu serakah mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN