Pulau Pinang setuju peralihan fasa PPN ikut prestasi negeri - Utusan Malaysia

Pulau Pinang setuju peralihan fasa PPN ikut prestasi negeri

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil kira prestasi pencapaian nilai-nilai ambang kes Covid-19 setiap negeri bagi memutuskan peralihan ke fasa kedua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pertimbangan itu adalah berasaskan populasi setiap negeri bukannya berpandukan bilangan jangkitan pada kadar kebangsaan seperti ketika kini.

Ini kerana jelas beliau, setiap negeri mempunyai dan menghadapi kadar jangkitan kes berbeza-beza yang mana memerlukan pertimbangan khusus dalam menentukan strategi lanjut yang perlu dilaksanakan.

Ujarnya, beliau juga telah menyuarakan sokongan kepada cadangan itu ketika menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal berhubung pengurusan pandemik Covid-19 pada hari Ahad lalu.

“Pagi ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) atau Mesyuarat Exco turut menyuarakan persetujuan supaya MKN mempertimbangkan pendekatan berkaitan bagi membolehkan setiap negeri beralih atau memasuki Fasa 2 PPN.

“Negeri-negeri yang berjaya beralih ke Fasa 2 semestinya masih perlu mempertingkatkan penguatkuasaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) demi terus bergerak ke fasa-fasa seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan menerima tambahan sebanyak 591,532 dos vaksin bagi bulan depan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),

Katanya, tambahan vaksin itu melibatkan sebanyak 131,255 dos bagi minggu pertama Julai; 136,506 (minggu kedua); 130,150 (minggu ketiga) dan 193,621 (minggu keempat).

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan negeri akan merancang dengan rapi supaya rakyat Pulau Pinang dapat memperoleh suntikan vaksin demi mencapai tiga matlamat utama antaranya supaya seramai 10 peratus populasi penduduk negeri ini disuntik untuk kedua-dua dos vaksin.

“Matlamat lainnya adalah untuk memberi suntikan vaksin kepada semua yang berdaftar membabitkan kategori warga emas 60 tahun dan ke atas serta kes morbiditi iaitu yang masih menunggu giliran.

“Selain itu, kita juga berharap memulakan pemberian vaksin kepada mereka yang berdaftar membabitkan kategori umur 60 tahun dan ke bawah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN