PKPD: 5 beranak ikat perut catu makanan - Utusan Malaysia

PKPD: 5 beranak ikat perut catu makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Lima beranak di Kepulauan Tumpat, di sini sudah dua minggu terpaksa mengikat perut kerana mencatu makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 22 Mei lalu.

Apabila PKPD yang sepatutnya berakhir kelmarin disambung lagi sehingga 18 Jun ini, hati wanita yang dikenali Fatimah, 53, hiba memikirkan rutin sama yang terpaksa ditempuh bersama empat anaknya bagi tempoh dua minggu lagi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Fatimah yang mempunyai dua anak Orang Kurang Upaya (OKU) memberitahu, dia penghidap penyakit buah pinggang kronik dan mereka lima beranak kini dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ihsan saudara mara.

“Sepanjang PKPD, kami yang tinggal di pulau terpaksa berkurung dalam rumah, pakai gelang merah jambu dan tidak boleh keluar ke mana-mana untuk beli barang keperluan. Pada minggu pertama PKPD, satu keluarga di sini diberikan seekor ayam.

“Pada minggu kedua, kami dapat seekor lagi ayam dan apabila PKPD disambung semalam, kami dapat 10 ekor anak ikan kembung untuk bekalan minggu ketiga. Hati mana tidak sedih apabila anak-anak minta tambah lauk tapi saya terpaksa catu takut tidak cukup.

“Setakat ini, kami terima ayam dan ikan, makanan lain tidak ada. Barang dapur untuk memasak ada kami terima, tetapi itu pun sudah hampir habis. Kenalah saya berjimat cermat,” keluhnya ketika dihubungi semalam.

Fatimah berkata, selain bahan makanan, barangan lain yang amat diperlukan ketika ini ialah Nestum dan lampin pakai buang untuk dua anaknya yang OKU, masing-masing berusia 18 dan 20 tahun.

Katanya lagi, sebelum ini, dua lagi anaknya yang yang normal disahkan positif Covid-19, lalu dibawa ke PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Kampung Laut untuk menerima rawatan dan menjalani kuarantin di sana.

“Sekarang mereka berdua sudah pulih dan dibenarkan balik ke rumah. Kalau sebelum ini saya perlu catu bekalan makanan untuk tiga orang, sekarang saya perlu catu lebih lagi supaya kami lima beranak tidak kehabisan lauk,” katanya.

Jelas Fatimah, biarpun masih memakai gelang merah jambu, dia dibenarkan keluar dari kawasan PKPD untuk mencuci darah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu sebanyak tiga kali seminggu setiap Ahad, Selasa dan Khamis.

“Saya keluar dari rumah diiringi anggota bomba atau Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan naik bot ke tanah besar sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans. Habis cuci darah, terus dibawa balik ke rumah, mana ada masa nak beli barang makanan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Fatimah sendiri di talian 011 10912501. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN