PETALING JAYA: Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Liza Chan Sow Keng menarik diri untuk mendengar kes saman membabitkan antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia membabitkan kes saman dikemukakan 1MDB terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners serta kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Najib dan enam pihak lain.
Perkara itu dimaklumkan oleh wakil peguam daripada Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership bagi pihak 1MDB dan SRC ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, Pesuruhjaya Kehakiman Sow Keng memaklumkan beliau menarik diri mendengar kes itu kerana bekas Perdana Menteri adalah rakan beliau dan bagi mengelak sebarang syak wasangka atau dakwaan berat walaupun sudah bertahun-tahun tidak berhubung.
Justeru itu satu tarikh baharu akan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan mahkamah lain tidak lama lagi.
Pada 7 Mei lalu, pengurusan baharu SRC selaku plaintif, memfailkan saman terhadap Najib dan enam lagi atas dakwaan melakukan pecah amanah serta melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM4 bilion kepada SRC.
Najib serta enam bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md. Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar dinamakan sebagai defendan.
SRC mendakwa kesemua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyalahguna kuasa serta mendapat manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.
Plaintif menuntut deklarasi supaya semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman tersebut selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
1MDB sebelum ini pernah juga memfailkan saman terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya Brian Chia Hock Gee sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam writ samannya, 1MDB mendakwa kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan melanggar kewajipan statutori terhadap syarikat itu bagi pihak Najib dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta sekutu mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1 bilion.
1MDB justeru itu menuntut ganti rugi US$1 billion serta pembayaran fi perundangan sebanyak RM664,821.21. – UTUSAN ONLINE










