IPOH: Kerajaan negeri merancang untuk menyediakan kemudahan pengangkutan bagi individu terutama warga emas yang menghadapi kesukaran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya sedang berbincang untuk menyusun kenderaan bagi memudahkan urusan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.
“Mengikut laporan Jabatan Kesihatan negeri, lebih 9,000 penduduk dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh ditetapkan dan mereka bukan menolak pemberian tersebut.
“Saya dimaklumkan, sesetengah daripada mereka ini tidak dapat hadir atas beberapa faktor seperti tidak menerima jemputan, terlupa serta masalah tiada kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.
Menurut Saarani, pihaknya akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim untuk menyusun kenderaan untuk membawa mereka yang tidak mempunyai pengangkutan seperti warga emas menerima suntikan vaksin.
“Setiausaha kerajaan negeri akan ambil kira menyusun kenderaan membawa mereka ini, termasuklah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup menghantar ahli mereka membawa golongan ini menerima vaksin.
“Kita sedang susun dan kalau betul semua ini menghadapi masalah kenderaan, kita akan susun ia supaya dapat diatasi dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming memaklumkan, seramai 9,009 individu yang sebahagian besarnya berusia 60 tahun ke atas di Perak dikesan gagal hadir untuk pemberian vaksin pada tarikh ditetapkan.
Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga 25 Mei lalu seramai 774,288 rakyat Perak telah mendaftar sebagai penerima vaksin iaitu mewakili 40.04 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini. – UTUSAN ONLINE










