ARAU: Mereka selalunya menghiburkan orang ramai selain sebagai sumber rezeki dengan bermain muzik khususnya di sekitar negeri ini.
Namun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang memasuki beberapa siri bermula tahun lalu, kebanyakan kumpulan pemuzik turut terjejas teruk selepas hilang sumber pendapatan apabila tiada lagi jemputan persembahan.
Nasib sama turut menimpa kumpulan muzik Versus yang dianggotai sekumpulan lima anak muda dari negeri ini yang sebelum ini cukup aktif menerima jemputan persembahan di sekitar Perlis, termasuk persembahan jalanan.
Kumpulan yang terkenal dengan lagu dari single pertama mereka bertajuk Persoalan itu terpaksa menangguhkan pelbagai perancangan termasuk melancarkan dua single terbaharu berikutan PKP.
Ketua kumpulan Versus, Syahizan Hamid, 39, berkata, rata-rata ahli kumpulan tersebut ada yang tidak bekerja dengan tumpuan banyak diberikan kepada memenuhi jemputan persembahan bagi mencari rezeki.
Malah katanya, mereka juga menambah pendapatan dengan melakukan aktiviti persembahan jalanan sebanyak empat kali seminggu.
“Sejak PKP dari tahun lalu, banyak perancangan kami tergendala selain hilang punca pendapatan apabila banyak program yang melibatkan persembahan terpaksa ditangguh atau dibatalkan.
“Selalunya, setiap kali persembahan kami dibayar ribuan ringgit termasuk pada majlis-majlis kenduri dan pelbagai lagi. Selain kami, banyak lagi kumpulan muzik khususnya di negeri ini terkesan berikutan PKP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain Syahizan yang berpengalaman lebih 20 tahun di dalam muzik, kumpulan tersebut turut dibarisi Afendy Ghazali,35, (penyanyi); Mohd. Syafiq Hamid,27, (Bass); Mahadzir Mansor,31, (gitar utama) dan Fahmi Osman (drum). – UTUSAN ONLINE