MELAKA: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM150 bilion merupakan pelengkap kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, Pemulih yang menggariskan tiga fokus dilihat sebagai strategi terbaik untuk membawa Malaysia keluar daripada belenggu pandemik Covid-19.
Kata beliau, pakej tersebut adalah kesinambungan kepada pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan sejak 28 Mac tahun lalu melibatkan jumlah keseluruhan RM530 bilion.
“Pemulih memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menambah tunai di tangan rakyat seperti i-Citra, Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, Subsidi Upah 4.0, moratorium dan sebagainya.
“Inisiatif ini mampu meningkatkan kuasa beli pengguna agar permintaan barangan dan perkhidmatan meningkat secara berterusan bagi merangsang ekonomi tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Pemulih bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.
Pemulih diperkenalkan setelah hampir sebulan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) berjumlah RM40 bilion diumumkan.
Selain itu, Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, pakej berkenaan juga mampu menyokong usaha rakyat untuk mencari peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran negara seperti mana yang dihasratkan oleh kerajaan.
Menurutnya, industri seperti perniagaan dalam talian perlu lebih kreatif bagi menggalakkan rakyat berbelanja.
“Semua pihak harus berganding bahu dan bersama-sama kerajaan dalam mendepani Covid-19 bagi memastikan segala pakej bantuan dan ekonomi yang diumumkan dapat dinikmati dan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE