PARIT: Kerajaan disaran mempertimbangkan subsidi barangan keperluan asas bersasar kepada golongan B40 terutama pekerja bergaji hari semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Seorang pekerja tukang kebun sekolah, Musa Mustafa, 44, berkata, langkah kerajaan mengumumkan bayaran tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) masih tidak dapat menampung keperluan golongan B40 sepertinya.
“Saya bersyukur apabila kerajaan mengumumkan tambahan RM500 bagi isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,500, namun bagi saya yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah, jumlah itu belum dapat membantu.
“Ini kerana saya mempunyai lima orang anak yang masih belajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain memerlukan wang untuk perbelanjaan harian keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, keadaannya lebih sukar selepas menerima notis daripada majikan tentang bekerja secara bergilir-gilir dengan rakan sekerja semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 hingga 14 Jun ini.
“Sebelum ini saya menerima gaji bulanan sebanyak RM1,100 dan apabila dengar akan menerima bayaran mengikut hari, saya berasa susah hati,” katanya.
Menurut Musa, harga barang keperluan yang mahal memberi kesan kepadanya dalam menguruskan perbelanjaan harian dan berharap kerajaan dapat melihat situasi yang menghimpit golongan B40 sepertinya yang tinggal di kawasan kampung.
Sementara itu, seorang lagi penerima BPR kategori bujang, Mohamad Khairul Naim, 25, berkata, tambahan RM100 tersebut diterima dengan rasa penuh syukur dan akan digunakan sebaiknya.
“Melihatkan harga barangan keperluan pada hari ini membuatkan kita termenung dan perlu berhati-hati membeli supaya mencukupi untuk keperluan saya.
“Macam saya bekerja sebagai penghantar barang tidaklah terkesan sangat kerana masih bekerja dan menerima gaji penuh, tetapi kawan-kawan saya yang bekerja sendiri, banyak meluahkan kepayahan mereka apabila PKP dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










