PdPR sering 'sangkut', tetap cemerlang SPM - Utusan Malaysia

PdPR sering ‘sangkut’, tetap cemerlang SPM

Muhammad Danish Mohammad menunjukkan isyarat bagus di rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gagal beberapa mata pelajaran setiap kali peperiksaan penggal di sekolah bukan penghalang untuk Muhammad Danish Mohammad,18, mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan hebahan keputusan peperiksaan SPM yang bermula hari ini, Muhammad Danish tidak menyangka dia boleh memperoleh keputusan SPM 4A, 4A- dan 1 C.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia berkata, bukan mudah untuk mendapatkan keputusan sebaik itu dalam keadaan dia dan semua pelajar sekolah di seluruh negara bergelut dengan kekangan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun, anak ketiga daripada empat orang adik beradik itu bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang baik daripada ahli keluarga, guru sekolah dan tenaga pengajar di pusat tuisyen.

“Memang susah untuk belajar secara dalam talian walaupun saya mempunyai peranti yang lengkap. Saya susah nak fahamkan sesuatu bab dalam mata pelajaran disebabkan rangkaian internet terputus.

“Pun begitu, lama kelamaan, saya sudah boleh membiasakan kaedah PdPR dan bertekad untuk terus belajar walau apa pun keadaan yang berlaku. Jadi, saya cuba uruskan jadual dan masa belajar saya dari pagi sampai malam untuk dapat keputusan cemerlang.

“Saya juga selalu menunaikan solat lima waktu dan solat sunat selain membaca bahan-bahan rujukan berkaitan matapelajaran di internet,” katanya di sini hari ini.

Penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan semester pertama di kolej swasta itu berkata, sebelum ini dia selalu gagal dalam matapelajaran Perniagaan, Ekonomi, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, berdasarkan semakan keputusan yang ditunjukkan kepada Utusan Malaysia, Muhammad Danish mendapat gred A bagi matapelajaran Sejarah, Matematik, Sains dan Perniagaan manakala A- untuk Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Prinsip Perakaunan dan Ekonomi serta gred C untuk Bahasa Inggeris.

Disebabkan kegagalan itu, dia bertekad untuk mengubah tabiat suka bermain game kepada mengulang kaji pelajaran sepenuhnya terutama bagi mata pelajaran yang sukar.

“Saya sasarkan sekurang-kurangnya 5 A sahaja, tetapi hari ini saya terkejut dan bersyukur kepada Allah SWT sebab saya dapat lebih daripada apa yang saya minta,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya