Orang ramai diingat jangan terpedaya pakej tawaran haji - Utusan Malaysia

Orang ramai diingat jangan terpedaya pakej tawaran haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu bentuk penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun 2021 yang ditawarkan beberapa agensi pelancongan sejak kebelakangan ini.

Penawaran pakej sedemikian amat meragukan, kerana ia ditawarkan walaupun dalam tempoh negara dilanda wabak Covid-19 serta sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa sekarang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Tabung Haji sebelum ini ada menyebut bahawa status pelaksanaan ibadah haji bagi tahun ini masih belum dapat dipastikan berikutan kerajaan masih menunggu kelulusan pihak berkuasa Arab Saudi.

Justeru itu, katanya, secara keseluruhan, PDRM melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun 2021 adalah satu tindakan pramatang serta mungkin satu penipuan.

“PDRM ingin mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan membuat semakan sewajarnya dengan agensi kerajaan berkaitan sebelum membuat bayaran dan menyertai pakej ditawarkan.

“Mereka yang berminat menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini diingatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan terkini dikeluarkan kerajaan berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (Persada) menerusi siaran media menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengenai perkhidmatan badal haji boleh dilaksanakan pelajar Malaysia di sana tanpa permit atau lesen haji.

Menurut PERSADA, pelaksanaan ibadah haji adalah berdasarkan kuota dan prosedur ditetapkan Arab Saudi malah harga perkhidmatan badal termasuk kos permit, penginapan dan pengangkutan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 adalah tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh djalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan pakej haji, umrah dan badal haji.

“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN