NS Sejahtera untuk syarikat biaya kos beri vaksin pekerja - Utusan Malaysia

NS Sejahtera untuk syarikat biaya kos beri vaksin pekerja

AMINUDDIN Harun (berdiri, kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke PPV Mega, IPT di USIM di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah syarikat swasta telah diberikan kelulusan kerajaan Negeri Sembilan bagi membuat perolehan vaksin daripada pihak Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. untuk melaksanakan Program Vaksinasi Covid-19 yang dinamakan sebagai NS Sejahtera.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kelulusan yang turut diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) itu adalah khusus untuk syarikat di sektor perniagaan, perkilangan dan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

“Program NS Sejahtera ini terbuka kepada mana-mana syarikat dalam sektor berkenaan yang berminat secara sukarela untuk mendapatkan vaksin tersebut dengan membiayai semula kos pemberian vaksin kepada pekerja masing-masing.

“Data penerima vaksin daripada NS Sejahtera ini akan diselaraskan dengan MySejahtera bagi memastikan pelaporan data adalah lengkap dan tepat di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Sains Islam Malaysia, USIM di Nilai hari ini.

Menurut Aminuddin, menerusi inisiatif pihak swasta itu, ia diharapkan dapat membantu kerajaan negeri mempercepat lagi proses vaksinasi di Negeri Sembilan sekali gus mencapai imuniti kelompok lebih awal.

“Syarikat ini akan membeli sendiri vaksin ini dan sediakan semua kemudahan. Stok vaksin sedia kepada kerajaan negeri tidak digunakan.

“Sebagai permulaan, pusat vaksinasi syarikat ini akan beroperasi di Dewan Ube, Kawasan Perindustrian Nilai 3. Saya difahamkan, pihak syarikat akan menambah bilangan pusat vaksinasi dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan sektor industri.

Jelas Menteri Besar, syarikat yang berminat untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.nssejahtera.com.my bermula hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN