Negeri Sembilan kesan lembu ada simptom LSD - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan kesan lembu ada simptom LSD

BAKRI SAWIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan mengesan seekor lembu di negeri ini mempunyai tanda klinikal berkaitan penyakit kulit kental (LSD).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, lembu itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan di 82 lokasi penternakan haiwan berkenaan di negeri ini.

Katanya, hasil daripada pemeriksaan itu, hanya seekor lembu iaitu di Rembau yang mempunyai tanda-tanda klinikal penyakit kulit seperti LSD.

“Setakat ini, belum mendapat pengesahan lagi yang ia berkaitan dengan penyakit LSD ini. Cuma, kita mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kita mengambil sampel sekiranya ada tanda-tanda awal dan menghantar sampel di Pusat Penyelidikan Veterinar di Ipoh (Perak),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Bakri, lembu berkenaan sudah diasingkan daripada ternakan lain sementara menunggu keputusan makmal diperoleh.

“Jika keputusan positif, lembu tersebut akan dilupuskan, tetapi, kita berharap penyakit LSD tidak berlaku di sini,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, penternak dan pengusaha perlu melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan segera bagi tindakan selanjutnya jika mengesan terdapat gejala LSD pada ternakan mereka

“Pengusaha dan penternak boleh dikenakan tindakan undang-undang jika menyembunyikan kes membabitkan haiwan ternakan yang menghidap penyakit LSD.

“Tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM25,000 boleh dikenakan jika penternak gagal melaporkan kes tersebut ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya