Nazri dedah Ahmad Zahid kemuka surat sokong Anwar - Utusan Malaysia

Nazri dedah Ahmad Zahid kemuka surat sokong Anwar

MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan surat sokongan ahli Parlimen parti itu bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Mohamed Nazri berkata, Ahmad Zahid dikatakan berbuat demikian ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan beliau bersama 24 ahli Parlimen UMNO lain membuat surat sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar Menteri Luar itu diberi mandat berurusan dan membuat keputusan bagi pihak mereka jika dipanggil menghadap Agong.

“Kami diberitahu Presiden UMNO ingin serah kepada A­gong untuk mengatakan kami ahli-ahli Parlimen UMNO sokong Anwar sebagai Perdana Menteri, sedangkan kami tidak pernah bersetuju dan tidak pernah langsung menyatakan sokongan kepada Presiden PKR itu.

“Hal ini kerana kami senada dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa No Anwar, No DAP dan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Nazri mendakwa 25 ahli Parlimen UMNO termasuk dirinya hilang kepercayaan terhadap kepe­mimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

Beliau meminta Majlis Ter­tinggi UMNO segera mengadakan pemilihan parti berikutan kepimpinan Ahmad Zahid yang lemah, ditambah pula dengan tindakan 25 ahli Parlimen parti memberi kepercayaan kepada Hishammuddin.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO tidak boleh membuang ahli Parlimennya yang setia dengan perjuangan dan prinsip parti untuk tidak be­kerjasama dengan PKR dan DAP.

Mohamed Nazri berkata, sebarang tindakan untuk tidak membenarkan mana-mana ahli UMNO bertanding dalam pemilihan parti dan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) adalah tidak wajar.

“Macam mana nak buang kita, ahli-ahli Parlimen yang berdiri teguh dan tegas tak menyokong Anwar? Apa alasan nak buang kita sebab kita pegang kepada keputusan parti? Kita akur dengan keputusan Perhimpunan Agung 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×