NAFAS, MARDI bekal varieti padi berkualiti - Utusan Malaysia

NAFAS, MARDI bekal varieti padi berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah dilantik sebagai pemborong tunggal bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkuatkuasa 24 November 2020.

Pengarah Kumpulan Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim berkata, adalah menjadi tanggungjawab NAFAS untuk memastikan proses pengeluaran, pembekalan serta pengedaran benih padi sah kepada 320,000 pesawah di jelapang Semenanjung Malaysia adalah terjamin berkualiti dan mampu meningkatkan hasil tanaman negara.

“Sehingga 30 Mei 2021, NAFAS telah menyelesaikan pengedaran sebanyak 85% pesanan beg benih padi sah bagi memenuhi keperluan petani melalui 145 Pertubuhan Peladang Kawasan.

“NAFAS berjaya mengatasi masalah kekurangan stok varieti MR297 dengan mencadangkan beberapa jenis varieti yang lain seperti yang disarankan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya.

Saripol Baharin berkata, NAFAS komited bersama-sama Jabatan Pertanian dan MARDI serta syarikat pembekal dalam usaha memastikan proses penyediaan bekalan benih padi sah adalah mengikut jadual supaya masalah pembekalan dan penanaman padi tidak terjejas.

Secara umumnya, industri padi dan beras negara kian berkembang pesat dan antara faktor peningkatan itu ialah kemajuan inovasi dan teknologi.

Agensi persekutuan di bawah MAFI, MARDI pula bertanggungjawab menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan pelbagai varieti padi negara.

Hasil varieti yang dikeluarkan MARDI memenuhi ciri-ciri yang telah ditetapkan bagi memastikan ia berpotensi dan berkualiti tinggi.

Oleh itu, golongan pesawah padi diingatkan supaya sama sekali tidak menggunakan benih padi yang tidak sah atau tidak berdaftar kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan padi yang tidak seragam, menyebabkan hasil berkurangan 70 peratus selain berisiko percampuran varieti pencemaran benih rumpai dan berpenyakit.

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr. Asfaliza Ramli berkata, sejak dahulu lagi, sebanyak 70 peratus pengeluaran beras dalam negara adalah hasil benih keluaran MARDI.

“Kami tidak bergantung kepada satu varieti sahaja oleh itu setiap dua tahun sekali kami akan mengeluarkan varieti baharu.

“Sebagai penyelidik, kami mempunyai fokus tersendiri dan fokus itu harus mengikut perkembangan dalam industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, hasil pengeluarannya harus memenuhi skala seperti bilangan tangkai, bilangan biji padi, panjang tangkai, tidak mudah rebah serta tahan penyakit dan makhluk perosak. Selain itu, sasaran MARDI ialah supaya petani boleh mendapatkan hasil sebanyak tujuh hingga lapan per hektar manakala pengilang mendapat lebih kurang 60 peratus beras daripada benih padi dihasilkan.

Kini, antara varieti industri yang sudah tersedia di pasaran ialah beras putih MR297, MR303, MR307 dan varieti terbaharu MR315 dan MRQ104, beras wangi.

“Cara pengeluaran dua jenis beras itu berbeza kerana beras putih ditanam di hampir semua jelapang manakala beras wangi ditanam oleh syarikat atau agensi tertentu untuk pengeluaran mereka sendiri.

“Padi putih dan padi wangi yang baharu itu dibangunkan sebagai pilihan tambahan kepada petani yang lebih suka menggunakan varieti berumur pendek kira-kira 100 hingga 105 hari selain mempunyai pokok yang tidak tinggi,” jelasnya.

Asfaliza berkata, ciri-ciri itu juga ada dalam varieti padi MR297 dan MR303 yang popular kerana mampu memberi hasil yang tinggi dalam masa yang singkat. Bagi varieti MR315 pula, ia mempunyai daya tahan penyakit karah tangkai serta penyakit karah daun dan hawar seludang.

Manakala, varieti padi MRQ104 pula dihasilkan untuk membuka pasaran beras wangi tempatan yang lebih luas serta daya tahan penyakit karah daun, karah tangkai dan perosak lain seperti hawar daun bakteria, hawar seludang, benah perang dan penyakit merah virus selain sesuai untuk penggemar beras wangi yang tidak melekit.

Beliau menekankan, petani-petani boleh mendapatkan bekalan benih padi yang berdaftar dan sah daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi memastikan tidak ada sebarang manipulasi oleh pihak-pihak tertentu terhadap bekalan benih padi di mana siling telah ditentukan oleh pihak kerajaan.

Mengenai proses pembangunan varieti padi, Asfaliza memberitahu ia membabitkan proses tertentu bermula daripada saringan dan penilaian benih berkualiti sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras, MAFI yang kemudiannya mengisytiharkan sesuatu varieti baharu.

Tambahnya, benih varieti yang disahkan di MAFI akan menjalani proses penghasilan benih baka dan benih asas. Selepas selesai proses berkenaan, benih itu akan diberikan kepada pengeluar yang dilantik MAFI.

“Kepelbagaian genetik dalam ekosistem penanaman padi ini penting untuk memberi lebih pilihan kepada pesawah selain memastikan bekalan makanan ruji negara sentiasa terjamin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya