Minyak masak 5kg: KPDNHEP Selangor keluar 11 notis kepada peniaga - Utusan Malaysia

Minyak masak 5kg: KPDNHEP Selangor keluar 11 notis kepada peniaga

PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Selangor sedang membuat pemeriksaan harga minyak masak 5kg di beberapa pasar raya di Gombak dan Kajang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri telah mengeluarkan 11 notis kepada peniaga kerana menjual minyak masak lima kilogram (5kg) pada harga agak tinggi iaitu kenaikan sehingga melebihi RM8 sebotol.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 23 peruncit dan mendapati terdapat peniaga yang meletakkan harga mencecah RM34.20 berbanding harga jualan pada nilai RM25.50.

Oleh demikian, katanya, pihaknya telah mengeluarkan 11 notis kepada peruncit dan meminta mereka membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak.

“Peniaga-peniaga ini diberi tempoh masa antara dua ke lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diarahkan. Ketika pemeriksaan dijalankan, mereka memaklumkan kenaikan harga jualan disebabkan pihak pembekal telah menaikkan harga kos minyak masak botol 5kg sehingga memaksa mereka untuk menaikkan harga jualan.

“Selain itu, peniaga juga memberitahu kenaikan harga pasaran minyak masak global turut mempengaruhi kenaikan harga jualan minyak masak di premis mereka. Setakat ini, kita telah mengenal pasti pembekal-pembekal yang menaikkan harga jualan minyak masak botol 5kg kepada peruncit dan tindakan susulan akan dilakukan dalam masa terdekat,”
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, KPDNHEP Selangor telah menggerakkan 20 pegawai penguatkuasanya daripada enam cawangan bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga minyak masak botol 5kg di sembilan daerah pada hari ini bermula pukul 11 tadi.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril Azan berkata, walaupun harga jualan minyak masak botol 5kg tidak dikawal harganya, namun pihak peniaga masih tertakluk di bawah perundangan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

Jelasnya, peniaga tidak boleh mengambil kadar keuntungan lebih daripada keuntungan yang biasa diperolehi oleh peniaga berkenaan.
“Sekiranya terdapat peniaga yang melakukan kesalahan-kesalahan berikut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Seksyen 14(1) iaitu mengambil keuntungan yang tidak munasabah atau mencatut.

“Oleh demikian, kita memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga minyak masak supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah atau mencatut dalam perjalanan perniagaan menawarkan minyak masak kepada pelanggan pada ketika ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya