Majikan diingat patuhi arahan kehadiran pekerja di pejabat - Utusan Malaysia

Majikan diingat patuhi arahan kehadiran pekerja di pejabat

SOFFIAN Santong memeriksa surat kebenaran merentas daerah daripada seorang pengguna jalan raya di SJR Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Majikan di negeri ini khususnya di daerah Timur Laut di sini diingatkan mematuhi arahan kebenaran kehadiran kakitangan ke pejabat sepanjang tempoh sekatan  pergerakan penuh (total lockdown) yang bermula hari ini. 

Ini kerana menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, polis menerusi pasukan pematuhan dan pemantauan bergerak akan turut mengadakan pemeriksaan di pejabat-pejabat awam serta swasta bagi memastikan perkara itu dipatuhi. 

Jelasnya, kehadiran kakitangan di pejabat seperti ditetapkan itu membabitkan 20 peratus bagi sektor awam manakala 60 peratus bagi sektor swasta pada satu-satu masa. 

“Malah dalam operasi sebelum ini juga, kita telah mengeluarkan kompaun kepada majikan sebuah syarikat di Lebuh Pantai di sini berjumlah RM10,000 selepas pemeriksaan mendapati kehadiran kakitangan ke pejabat syarikat itu melebihi arahan ditetapkan. 

“Sehubungan itu, kita juga menyeru orang ramai atau pekerja yang mendapati terdapat mana-mana majikan yang melanggar arahan kehadiran kedatangan kakitangan ini membuat laporan kepada polis supaya tindakan dapat diambil,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang di sini pagi ini. 

Dalam tinjauan selama kira-kira satu jam itu, sebanyak lima buah kenderaan diarahkan berpatah balik selepas didapati tidak memiliki kebenaran merentas daerah seperti ditetapkan menerusi tempoh larangan pergerakan penuh. 

Antaranya kerana masih menggunakan surat kebenaran rentas daerah yang lama selain bukan pekerja daripada 17 sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh larangan pergerakan penuh. 

Sementara itu, Soffian turut menegaskan pasukan polis juga akan meningkatkan pemeriksaan dalam kalangan orang ramai yang berada di lokasi-lokasi awam bagi memastikan arahan pergerakan dalam jarak tidak lebih 10 kilometer (km) dipatuhi. 

Jelas beliau, mereka yang didapati bergerak melebihi radius dibenarkan itu bagi apa-apa tujuan atau alasan yang boleh dilakukan dalam jarak 10km dari tempat tinggalnya akan dikompaun. 

“Sebab itu kita mengingatkan orang ramai sekiranya tidak mempunyai sebarang tujuan mustakan atau mendesak, sila kekal berada di rumah dan bersama-sama kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya