MAIWP peruntuk RM38.8 juta bantu golongan terjejas pandemik - Utusan Malaysia

MAIWP peruntuk RM38.8 juta bantu golongan terjejas pandemik

Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban asnaf dan golongan B40 yang terjejas akibat pandemik dengan memperuntukkan RM38.8 juta pemberian Bantuan Zakat Khas di bawah Program
MAIWP Prihatin – Kasih Asnaf 3.0.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, program bantuan terbaharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan itu akan memberi manfaat kepada seramai 75,210 penerima di Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, sumbangan kewangan RM500 seorang kepada seramai 3,500 pemandu teksi berjumlah RM1.75 juta akan disalurkan melalui akaun Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia untuk diagihkan kepada pemandu pemandu teksi.

“Kita juga menyalurkan sumbangan RM500 seorang kepada 4,010 golongan orang kurang upaya (OKU) berjumlah RM2 juta. Seramai 2,250 adalah penerima beragama Islam manakala bakinya bukan beragama Islam yang akan menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM880,000 daripada sumber Wang Tidak Patuh Syariah.

“Peruntukan sebanyak RM1.2 juta juga disumbang kepada 2,400 pengusaha dan pekerja kantin sekolah manakala bantuan berjumlah RM400,000 disumbang kepada 800 pengusaha bas atau van sekolah.

“Kesemua penerima akan mendapat RM500 seorang menerusi Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia serta Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Daud, pihaknya juga memperuntukkan RM3.5 juta bagi membantu 2,000 pengawal keselamatan dan 5,000 peniaga pasar malam yang masing-masing akan menerima RM500 setiap seorang Jelasnya, bantuan tersebut akan disalurkan melalui Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan pelarasan bersama oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

“Kita juga telah memperuntukkan RM10 juta bagi Bantuan Kecemasan Covid-19 secara one-off berjumlah RM500 seorang kepada individu yang terjejas pendapatan mereka akibat pandemik selain golongan di atas.

“Ini membabitkan 15,000 penerima bantuan kecemasan Covid-19 2.0 yang akan menerima bantuan secara automatik serta anggaran 5,000 penerima daripada permohonan baharu yang akan dibuka secara dalam talian bermula pertengahan Jun ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bantuan tambahan RM300 secara one-off kepada anggaran 30,000 penerima Bantuan Kewangan Bulanan melibatkan peruntukan sebanyak RM9 juta.

“Kita juga memperuntukkan RM20 juta bagi agihan petrol percuma kepada 2,500 penghantar makanan dan barangan menerusi kerjasama Petronas di stesen minyak terpilih.

“Bagi memudahkan pembelajaran dalam tempoh ini, kami turut merangka inisiatif pemberian bantuan komputer riba kepada pelajar dalam kalangan anak asnaf yang akan disalurkan kepada 5,000 ketua keluarga dengan jumlah peruntukan RM9 juta.

“Atas dasar keprihatinan dengan nasib dan perjuangan saudara kita di Palestin, MAIWP juga telah meluluskan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada masyarakat Islam di sana,” tambah beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya