PORT DICKSON: Enam individu lelaki yang sedang leka berjudi ditahan dan dikenakan kompaun dalam serbuan di sebuah rumah di Dataran Segar Lukut di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 29 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada pukul 10.45 malam.
“Sebaik sahaja tiba, pihak polis mendapati pintu pagar hadapan dan pintu rumah dalam keadaan terbuka.
“Seterusnya pasukan serbuan masuk dan nampak sekumpulan lelaki sedang duduk dan berdiri mengelilingi sebuah meja di bahagian dapur sedang leka bermain judi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah membawa kepada rampasan peralatan perjudian termasuk sehelai kain tertera gambar duit syiling, ayam, ketam, labu, udang dan ikan, piring dan mangkuk kecil, dua biji dadu serta wang tunai sebanyak RM311.
“Selain itu, suspek turut dikenakan tindakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
“Kesemua suspek kini berada di lokap IPD Port Dickson dan direman sehingga Isnin depan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan aktiviti perjudian di dalam bangunan. – UTUSAN ONLINE










