MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan kompaun berjumlah RM95,000 melibatkan 13 kes ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Jun lalu.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pecahan kes berkenaan melibatkan tujuh pasar raya, lima buah premis dan sebuah premis serbaneka.
Menurut beliau, pihaknya telah memeriksa 14,245 buah premis di sekitar negeri ini dan sebanyak 1,353 pemeriksaan dikhususkan kepada pematuhan SOP PKP.
“KPDNHEP negeri memberi amaran dan peringatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang menjalankan sebarang aktiviti perdagangan untuk terus mematuhi segala SOP yang telah dikuatkuasakan. Pegawai penguat kuasa sentiasa bersedia dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.
“Kekalkan etika perniagaan yang baik dan bersama-sama kita membantu pihak kerajaan menangani penipuan dan penindasan dalam perniagaan serta memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Norena, pemilik perniagaan perlu mematuhi langkah-langkah yang telah ditetapkan sepanjang tempoh operasi seperti memaparkan jumlah had kemasukan pelanggan dan penggunaan sistem nombor giliran adalah digalakkan.
Selain itu, katanya, premis perniagaan perlu memastikan kawalan keluar masuk dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter, selain terdapat sekurang-kurangnya seorang pekerja mengawal laluan serta menyediakan kod QR My Sejahtera dan buku pendaftaran kehadiran pelanggan.
“Penggunaan My Sejahtera diwajibkan di kawasan capaian internet yang luas. Pengecualian pendaftaran menggunakan buku hanya dibenarkan di kawasan yang tiada liputan internet atau alasan lain yang munasabah seperti warga emas dan tiada telefon bimbit.
“Hanya pelanggan yang berstatus risiko rendah dan kontak biasa risiko rendah sahaja dibenarkan masuk. Alat pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman disediakan di laluan masuk premis perniagaan serta memastikan pekerja, pembekal dan pelanggan memakai pelitup muka dengan betul ketika berada di premis,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut dan mahu menyalurkan aduan boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang. -UTUSAN ONLINE