PETALING JAYA : Semua kontraktor G1 dan G2 yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan bagi projek berskala kecil dibenarkan beroperasi serta merta.
Keputusan itu dibuat Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan Covid-19 hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerja-kerja yang dijalankan perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagi tujuan itu, kontraktor-kontraktor yang ingin mendapatkan kebenaran daripada PDRM boleh hadir ke balai-balai polis berhampiran.
“Setiap permohonan perlu dilampirkan dengan dokumen pendaftaran syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukti projek yang akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Acryl Sani, surat yang dikeluarkan PDRM adalah tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara atau penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada PDRM secara one off.
“Kebenaran yang telah diperoleh sebelum ini masih terpakai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










