Kongres PKR ditangguh ke 30 Jun, MPP protes - Utusan Malaysia

Kongres PKR ditangguh ke 30 Jun, MPP protes

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Nasional Tahunan PKR yang ditangguhkan pada 30 Jun ini akan melampaui tempoh 18 bulan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti itu berikutan semalam merupakan hari terakhir mesyuarat agung peringkat pusat bagi tahun 2020 sepatutnya diadakan.

Penangguhan kongres didakwa terpaksa dibuat apabila parti itu menerima arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Sabtu lalu bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, di peringkat awal, pihaknya sudah pun mendapat kebenaran daripada kedua-dua pihak berkuasa itu berikutan kongres akan diadakan secara dalam talian.

Malah, beliau berkata kelulusan itu diberikan selepas bertemu dengan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rabin Basir dan Ketua Pengarah ROS, Jasri Kassim selepas dimaklumkan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menetapkan tarikh untuk diadakan kongres tahunan parti pada 6 Jun.

“Sehinggalah, sehari sebelum kongres iaitu semalam, saya menerima panggilan telefon daripada ROS dan saya menerima surat daripada MKN. 

“Surat itu menyatakan dengan jelas, arahan penangguhan berasaskan kepada PKP 3.0 yang sedang berlangsung dan aktiviti sosial yang tidak diletakkan dalam kategori keutamaan tidak dibenarkan dan kerana itu Kongres Nasional Tahunan PKR diarah supaya ditangguh.

“Kemudian diikuti perenggan berikutnya, kegagalan atau ketidakpatuhan kepada arahan ini boleh membawa kepada tindakan mengikut Ordinan Darurat boleh dikenakan,” katanya ketika berucap dalam Amanat Presiden PKR semalam.

Bagaimanapun dalam ucapan sempena amanat yang menggantikan kongres tahunan parti itu, beliau memaklumkan MPP bersetuju untuk menangguhkannya namun persetujuan tersebut disertai dengan protes terhadap ROS dan MKN berikutan persiapannya sudahpun dibuat.

Tambah beliau, penangguhan pada 30 Jun juga tetap bergantung kepada pelaksanaan PKP 3.0 dan perkara itu disifatkan masih tidak muktamad (open-ended).

“Sebagai Setiausaha Agung, saya akan maklumkan kepada ROS, berkenaan tarikh itu. Saya juga akan menulis lagi kepada MKN untuk mendapatkan panduan mereka. Begitulah PKR dalam menguruskan sebuah parti, kita mahu menjadi parti yang tertib, patuh dengan undang-undang dan juga garis panduan.

“Walaupun di sana ada juga rasa tidak puas hati dan sebagainya kerana persiapan kita kalau sudah patuh semua SOP, dijalankan secara maya, tiada pertemuan fizikal, mengapa perlu diarah tidak meneruskan atau ditangguhkan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN