Khadijah simpan ijazah demi bendang - Utusan Malaysia

Khadijah simpan ijazah demi bendang

KHADIJAH Shamsudin mengendalikan traktor membajak sawah padi Kampung Gintong di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Siapa kata golongan muda khususnya wanita tidak sanggup bergelumang lumpur mem­bajak sawah di bawah terik matahari?

Ini dibuktikan oleh seorang ga­­dis di Kampung Gintong di sini, Khadijah Shamsudin, 31, yang mengusahakan sawah seluas lapan hektar milik ke­luar­ga­nya.

Walaupun pernah dihambat rasa kecewa apabila lamaran demi lamaran untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan tidak membuahkan hasil, dia kini gembira dan bahagia menghambakan diri kepada aktiviti menanam padi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemegang Ijazah Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, hampir empat tahun dia cuba ‘melamar’ pekerjaan sebelum memutuskan untuk melupakan terus hasratnya itu.

Katanya, minat untuk meng­usahakan sawah juga timbul apabila saban hari melihat petani membanting tulang, mengerah keringat dan bermain lumpur sawah padi di kampung tersebut.

“Saya terus simpan ijazah dan resume dalam almari dan mula bermain lumpur dan lintah untuk mengusahakan sawah ini dengan azam dan harapan mampu mencipta lembaran baharu dalam hidup sebagai seorang petani,” katanya di sini semalam.

Kata gadis hitam manis itu, pada hari pertama, dia sudah dicabar oleh pesawah lain, yang juga dalam kalangan saudara maranya supaya mengendalikan traktor.

“Kata mereka, ia adalah prasyarat sekiranya ingin menjadi seorang pesawah yang berjaya.

“Saya sahut cabaran mereka dan mula belajar memandu traktor dengan bantuan tunjuk ajar beberapa orang petani di sini, lagipun, saya memang sangat berminat apabila kerap kali melihat jentera pembajak berada di tengah sawah sebelum ini,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik pasangan Shamsudin Sulaiman, 63, dan Norhayati Harun, 62, itu berkata, dia kini tidak kekok lagi mengendalikan jentera berkenaan dan dalam tempoh dua minggu, semua kawasan sawah telah selesai dibajak secara bergilir-gilir dengan dua orang pemandu lelaki.

“Kini saya mempelajari pula teknik menyembur benih padi MR219 yang akan bermula minggu ini dan rutin seterusnya, menguruskan pengairan, pembajaan dan sehinggalah penuaian hasil nanti,” katanya.

Cerita gadis itu, selama dua minggu kakinya berendam lumpur di bawah panas terik matahari dan melihat lintah menghisap darah di betis seolah-olah seperti bermimpi, tetapi sebenarnya berada di alam nyata seorang petani.

“Saya bercita-cita menjadi petani moden dan selepas ini, ingin menyertai kursus tentang pengurusan tanaman padi dan melanjutkan kemahiran mengendalikan jentera pembajak dan menuai termasuk mengambil lesen bagi persediaan musim akan datang,’’ katanya.

Khadijah menyeru rakan-rakan siswazah yang belum bekerja supaya kembalilah ke kampung kerana banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian, yang juga merupakan satu perniagaan.

“Dengan minat, keazaman dan tekad yang kuat dalam meneroka bidang pertanian ini, saya yakin kita akan berjaya,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN