KUALA LUMPUR : Dengan peningkatan peratusan kes sporadik, adalah wajar kerajaan meningkatkan jumlah sasaran 200,000 kepada 250,000 dos vaksin sehari penduduk di negara ini.
Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, dengan jumlah tersebut sasaran untuk mencapai komuniti kelompok penduduk yang divaksin sebanyak 70 peratus menjelang akhir tahun ini dapat dicapai.
Namun, kerajaan dalam masa yang sama perlu melonggarkan syarat kepada klinik yang berhasrat menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) termasuk mengecualikan proses latihan dan kursus kepada mereka.
“Doktor-doktor di klinik swasta berpengalaman dan mereka bukannya baharu dalam proses pemberian suntikan. Malah jika kita lihat, ada paramedik yang bertanggungjawab memberi suntikan di PPV.
“Tidak perlu bagi klinik swasta mengikuti latihan atau kursus bagi program berkenaan. Syarat-syarat perlu dipermudahkan kerana kita berada dalam tempoh darurat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah sporadik dalam lingkungan 81 peratus daripada keseluruhan kes.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi, Amrahi Buang berkata, stok vaksin perlu sampai ke negara ini mengikut jadual dan perlu diberi kepada penduduk secara terus tanpa membabitkan proses temujanji.
“Vaksin perlu diberi setiap hari tanpa henti. Tiada hari tanpa vaksin kerana proses melibatkan pemberian dua dos semestinya mengambil masa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










