Kerajaan disaran serap pelajar tahun akhir ISMP - Utusan Malaysia

Kerajaan disaran serap pelajar tahun akhir ISMP

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kerajaan disaran mewujudkan program penyerapan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) universiti awam (UA) menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Jurucakap Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Chonnel George berkata, sejumlah 4,390 lepasan ISMP masih menanti penempatan dan mereka wajar diberi ruang mengisi kekurangan guru.

“Meskipun terdapat persoalan ketidakpadanan opsyen graduan yang sesuai dengan jumlah keperluan guru di sekolah, perkara itu dapat diselesaikan dengan mewujudkan beberapa kursus profesional dalam membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru seperti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

“Hakikat yang tidak dapat disangkal, graduan ISMP sudah melalui tapisan kelayakan perguruan sebelum menjejakkan kaki ke universiti melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI), latihan perguruan sepanjang empat tahun pengajian dan latihan mengajar di sekolah. Turut dimaklumkan, terdapat sebilangan graduan pada kohort yang berbeza menjalani Program Perantis Guru (PPG),” katanya di sini semalam.

Selain itu, George menambah, pengambilan guru melibatkan lepasan ISMP mampu melancarkan urusan Kementerian Pendidikan dan sekolah serta menjimatkan kos perbelanjaan pentadbiran dalam merekrut guru baharu memandangkan mereka didedahkan dengan alam persekolahan.

Katanya, GGPUA berpandangan, kesenjangan pengambilan pelajar bagi memenuhi kuota program pengajian pendidikan di UA perlu diselaraskan dengan keperluan opsyen guru unjuran Kementerian Pendidikan dan libat urus bersama Kementerian Pengajian Tinggi pada setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau mengemukakan empat cadangan berhubung penempatan 18,702 guru iaitu menyerapkan masuk lepasan ISMP UA tanpa mengira opsyen ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan keduanya, pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru/Opsyen Umum) bagi graduan tersebut.

“Selain itu, mempertimbang opsyen minor untuk urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred 41 dan mewujudkan tiga subjek pilihan mengajar di MySPP iaitu portal rasmi permohonan bagi jawatan guru,” katanya.

George turut melahirkan kegusaran apabila Menteri Kanan Pendidikan menyebut pengambilan guru pada Julai nanti turut dibuka kepada graduan yang tidak memiliki latar belakang perguruan.

“Tindakan ini harus diperhalusi secara kritis agar tidak mendatangkan sebarang pertindihan implikasi terhadap nasib penempatan graduan dalam profesion perguruan di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN