Keluarga mangsa nahas LRT tuntut RM1.8 juta daripada Prasarana - Utusan Malaysia

Keluarga mangsa nahas LRT tuntut RM1.8 juta daripada Prasarana

PASUKAN penyelamat membawa mangsa keluar untuk mendapatkan rawatan susulan kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di Stesen LRT KLCC baru-baru ini. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluarga salah seorang mangsa insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) mengemukakan notis tuntutan terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menuntut ganti kerugian dan kecuaian sebanyak RM1.8 juta.

Notis itu dikemukakan oleh keluarga mangsa, Wong Chee Foong, 52, menerusi firma guaman Jazzmine Khoo & Associates.

Menurut peguam Jazzmine Khoo, tuntutan itu antaranya melibatkan kos perbelanjaan perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi serta trauma dan kehilangan pendapatan.

Katanya, mangsa bekerja sebagai cef di sebuah hotel di ibu negara cedera parah di kepala, muka dan tulang belakang akibat nahas itu sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan masih belum sedar di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bapa kepada empat anak berusia antara tiga tahun hingga 15 tahun itu merupakan penyara tunggal nafkah keluarganya.

“Keluarga mangsa menerusi firma guaman justeru itu pada hari ini telah menghantar notis tuntutan saman kepada Prasarana susulan kesan dialami lelaki itu.

“Keluarga mangsa berharap agar pihak terlibat dapat menjawab surat tersebut dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih baik dan wajar dengan segera,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Khoo menambah, keluarga mangsa kecewa kerana sehingga kini tiada sebarang usaha dilakukan Prasarana berhubung kos perubatan dan kerugian pendapatan serta bantuan RM1,000 seperti dijanjikan sebelum ini.

Jelas Khoo lagi, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja dan telah menaiki tren dari stesen KLCC dan sepatutnya keluar di stesen Masjid Jamek untuk pertukaran ke Cheras.

Pada 24 Mei lalu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN