PASIR MAS: Capaian internet lemah dan ketiadaan gajet merentap semangat para pelajar di Kampung Sipul, Tok Uban, di sini untuk mengikuti kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, para pelajar mendakwa sering terlepas sesi PdPR gara-gara kualiti capaian internet yang masih di takuk lama.
Pelajar Tingkatan Satu, Muhammad Afiq Aizizi, 13, dia kadangkala berasa putus asa dengan tahap capaian internet dan kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada aplikasi WhatsApp untuk belajar.
“Walaupun jarang dapat mengikuti PdPR, saya tetap berusaha menyiapkan tugasan dan menghantar kerja rumah mengikut masa diarahkan guru selain bertanya mereka jika kurang faham mengenai sesuatu topik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ketiadaan telefon pintar turut merencatkan pembelajaran seorang murid Darjah Tiga, Mohd. Shahrul Iman Sabri yang sering terlepas sesi PdPR pada waktu pagi.
Sebelum mengetahui perkembangan terkini mengenai ‘sekolah di alam maya’, Mohd. Shahrul perlu menunggu ibunya pulang berehat daripada menoreh getah terlebih dahulu untuk meminjam telefon pintar.
“Masa itu barulah ibu dapat memaklumkan kepada saya jika ada kerja rumah atau apa-apa arahan yang diberikan oleh cikgu dalam kumpulan WhatsApp,” ujarnya.
Sementara itu, guru pelatih, Mohammad Helmi Roszami, 26, mengakui tugasnya sebagai pendidik lebih mencabar, gara-gara semua syarikat telekomunikasi (telco) gagal menawarkan perkhidmatan internet memuaskan di kawasan itu.
“Kalaupun ada internet di kawasan rumah mereka, kebanyakan pelajar berdepan pula masalah ketiadaan gajet atau telefon pintar kerana keluarga mereka tidak mampu membelinya.
“Sebagai alternatif, saya memberikan tugasan secara manual kepada pelajar bagi mengelak mereka ketinggalan dalam pelajaran,” katanya yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.
Seorang bapa, Roswadi Abdul Rahman, 42, pula memberitahu, demi memastikan anak-anak dapat mengikuti PdPR dengan lancar, dia perlu berulang-alik sejauh enam kilometer untuk menghantar mereka belajar di rumah ibu bapanya di Tok Uban.
“Masalah ini sudah berlarutan bertahun-tahun dan bertambah parah apabila kerajaan memperkenalkan PdPR ketika musim Covid-19. Saya harap telco berkenaan cepat-cepatlah naik taraf perkhidmatan di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










