JKM lulus BKK kepada dua beradik - Utusan Malaysia

JKM lulus BKK kepada dua beradik

RINA Mohd. Harun (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Faridah ketika melawat keluarga lima beradik berkenaan di Bandar Sunggala, Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM300 sebulan kepada dua daripada lima beradik yang kehilangan kedua ibu bapa selang seminggu angkara Covid-19 yang kisah itu mendapat perhatian pelbagai pihak baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebelum ini pihak JKM juga telah bertindak segera dengan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM300 melalui Tabung Bantuan Segera serta menyerahkan bakul makanan kepada keluarga tersebut.

“Dalam kunjungan hari ini, saya serahkan surat kelulusan BKK sebanyak RM300 kepada dua beradik yang masih bersekolah bermula bulan depan hingga tamat sekolah serta memberikan khidmat nasihat dan kaunseling kepada mereka.

“Sebelum ini, arwah ibu mereka merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan menerima bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada JKM,” katanya mengunjungi kediaman lima beradik berkenaan di Bandar Sunggala, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 8 Jun lalu melaporkan lima beradik di Bandar Sunggala dekat sini ‘kehilangan’ ibu bapa masing-masing apabila kedua-dua orang tua mereka itu meninggal dunia akibat Covid-19.

Abang sulung adik beradik itu, Muhammad Haidir Rodzi, 23, berkata, bapanya, Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia pada 31 Mei lalu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin manakala ibunya pula, Nazita Idris, 45, meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 6 Jun.

Nenek mereka, Faridah Md. Shahar, 75, yang juga tinggal bersama turut dijangkiti Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Tampin pada ketika itu.

Dua orang yang masih bersekolah dalam kalangan lima beradik itu ialah. Muhammad Haiqiel Rodzi, 13, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru SiRusa dan Muhammad Khierzamani Rodzi, 7, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru SiRusa dekat sini.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN