Jemaah langgar SOP cemar imej Islam - Utusan Malaysia

Jemaah langgar SOP cemar imej Islam

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Tindakan 37 individu mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika solat berjemaah di dua surau di Mukim Chetok, di sini baru-baru ini dikhuatiri mencemarkan imej Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau kesal masih ada segelintir masyarakat tidak menganggap Covid-19 sebagai bencana negara yang serius.

Katanya, tindakan kumpulan itu juga secara tidak langsung memperlihatkan sikap ‘jahil’ masing-masing tentang perlunya patuh kepada peraturan dibuat oleh kerajaan bagi mengekang penularan sesuatu wabak.

“Kerajaan bukan mahu melarang solat jemaah, tetapi melarang kita berkumpul dalam kapasiti ramai, lebih-lebih lagi tanpa penjarakan fizikal kerana dengan cara inilah kita dapat memutuskan rantaian jangkitan.

“Keutamaan sekarang ialah menjaga nyawa kerana ramai menjadi korban kepada virus ini yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Nasihat saya kepada masyarakat, patuhilah arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Online semalam melaporkan, sikap degil 37 jemaah di dua surau di Mukim Chetok di sini yang tidak mematuhi SOP ketika menunaikan solat Isyak mengundang padah apabila dikompaun RM1,500 setiap seorang.

Kesemua individu berusia antara 20 hingga 70 tahun itu dikompaun pihak polis selepas mereka didapati menunaikan solat jemaah melebihi kapasiti, tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

Selain jemaah dewasa, terdapat kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun namun polis tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka kerana masih di bawah umur. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya