Jangan takut dengan bekas pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Jangan takut dengan bekas pesakit Covid-19

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bekas pesakit Covid-19 boleh menghadapi tekanan emosi cukup serius jika ada dalam kalangan masyarakat masih mempunyai stigma negatif terhadap mereka meskipun sudah disahkan bebas penyakit itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kaunselor Pusat Kaunseling Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Nurul Naimah Rose berkata, bekas pesakit Covid-19 sudah melalui episod yang cukup panjang iaitu semasa terkena jangkitan, dirawat di hospital termasuk kehilangan ahli keluarga tersayang.

Justeru katanya, masyarakat sekeliling khususnya perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan dan semangat kepada bekas pesakit Covid-19, bukannya menambah tekanan dengan bertindak menjauhi mereka.

Dalam masa sama jelasnya, bekas pesakit Covid-19 juga dinasihatkan supaya tidak berfikir bukan-bukan sebaliknya perlu sentiasa positif.

“Tekanan emosi ini bergantung kepada sejauh mana kekuatan individu itu sendiri dalam berdepan atau menangani setiap masalah.

“Ada dalam kalangan mereka yang mencari inisiatif sendiri seperti memberi ‘educated’ (memberi pendidikan) kepada orang lain dengan berkongsi pengalaman dan sebagainya. Bagi mereka mungkin dengan cara itu dapat menghilangkan rasa tekanan.

“Bagi yang emosi rapuh, mereka mungkin mudah tertekan dan sering berfikir berlebihan seperti salahkan diri sebagai punca jangkitan kepada orang lain dan lebih-lebih lagi bagi mereka yang kehilangan orang tersayang.

“Bagi mereka yang menghadapi tekanan emosi serius ini, antara langkah terbaik adalah dengan berkongsi cerita atau meluahkan apa yang terpendam. Kita tidak boleh pendam seorang diri. Selain itu, mereka juga boleh merujuk kepada pakar dan jangan biarkan tekanan emosi itu berlarutan,” katanya.

Tambah Nurul Naimah, sejak mengetahui positif dan seterusnya dikuarantin, emosi pesakit ketika itu mungkin sudah mula terganggu dan apabila sembuh terpaksa pula berdepan dengan penerimaan orang sekeliling.

Katanya, jika mendapat sokongan orang sekeliling mungkin emosi mereka akan pulih dengan cepat, namun jika ada yang menjauhkan diri, tekanan tersebut mungkin akan bertambah kepada bekas pesakit itu.

“Masyarakat perlu memainkan peranan jangan menyisihkan bekas pesakit kerana mereka sudah melalui pelbagai dugaan. Mereka sudah sembuh, tidak akan menjangkiti orang lain jadi orang ramai tidak perlu berasa takut sehingga menjauhkan diri.

“Stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19 perlu segera dibuang dan janganlah menambahkan lagi tekanan kepada mereka,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Unimap.

Sementara itu, Nurul Naimah melihat masih ada yang sama ada kurang faham atau salah faham dalam berdepan dengan Covid-19.

“Jadi pendedahan mengenai perkara tersebut perlu dipertingkatkan supaya memberi kefahaman kepada orang ramai bahawa mereka yang sudah bebas daripada Covid-19 tidak menjangkiti orang lain.

“Kita hanya menjauhi mereka yang masih positif Covid-19 bukannya mereka yang sudah sembuh sepenuhnya. Kita faham perasaan takut dalam kalangan masyarakat itu, namun jika kefahaman itu ada, masyarakat tidak akan berasa takut lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN