Jangan pertikai kempen bendera putih, segelintir rakyat tertekan - Utusan Malaysia

Jangan pertikai kempen bendera putih, segelintir rakyat tertekan

Pengibaran bendera putih kini menimbulkan banyak tafsiran dan menjadi bualan dalam media sosial - SUMBER MEDIA SOSIAL- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kempen kibar bendera putih yang digerakkan rakyat adalah tanda solidariti dan keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, gerakan itu bukan dicetuskan oleh golongan politik namun masyarakat sivil setelah melihat situasi rakyat kini yang tertekan dan mengalami perasaan sehingga mengambil tindakan tidak masuk akal.

“Selain gobok rezeki dan sebagainya, inisiatif kibar bendera putih adalah satu fenomena baharu yang menunjukkan solidariti rakyat sangat membantu antara sama lain demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau mengulas kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan yang mendapat sambutan hangat sejak semalam dan tular dalam Facebook, Twitter serta Instagram.

Dalam pada itu, Mujibu mengesa ahli politik supaya tidak menangguk di air keruh dengan memperlekeh usaha itu dan seolah-olah mereka gagal memahami situasi yang berlaku kini.

Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengatakan rakyat tidak wajar diajar mengangkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih sebaliknya perlu mengangkat tangan untuk berdoa kepada Tuhan, sepatutnya tidak dilakukan oleh seorang pemimpin parti.

“Sebagai ahli politik, beliau harus kreatif untuk lebih membantu rakyat dan bukannya memperlekeh usaha ini. Benda baik patut disokong dan membantu rakyat ditimpa kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Kelab Gemilang, Mohd. Haziq Hishamuddin berkata, kempen tersebut adalah perkara positif memandangkan terdapat dalam kalangan rakyat sendiri yang mungkin terlepas pandang terhadap kesusahan masyarakat sekeliling.

Katanya, ia secara langsung dapat memudahkan pihak wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan dan tindakan pantas dapat diambil agar bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Namun beliau melahirkan kebimbangan langkah itu akan disalah guna oleh golongan tidak bertanggungjawab yang “berlakon susah” demi mengambil kesempatan atas kebaikan serta keprihatinan masyarakat kita.

“Hal ini juga harus dipandang serius, agar sumbangan oleh masyarakat, wakil rakyat serta NGO tidak diberikan kepada golongan yang tidak layak untuk menerimanya.

“Justeru itu, amatlah dinasihatkan agar masyarakat kita lebih peka dengan menyemak terlebih dahulu latar belakang bakal penerima bantuan supaya bantuan tersebut benar-benar dapat dimanfaatkan oleh keluarga dalam kesusahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN