Hospital swasta bantu percepat program vaksinasi - Utusan Malaysia

Hospital swasta bantu percepat program vaksinasi

KHAIRUL Salleh Abdul Rani (kiri) beramah mesra bersama penerima vaksin di PPV Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hospital swasta di sini, Pusat Perubatan Ar-Ridzuan sedia membantu kerajaan negeri dalam program jangkauan komuniti atau Program Outreach Vaksinasi Covid 19.

Pengurus Besarnya, Khairul Salleh Abdul Rani berkata, usaha itu diharap dapat membantu kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 terutama kepada kumpulan penerima vaksin yang memerlukan perkhidmatan capaian khas.

“Penglibatan hospital swasta akan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat apatah lagi kerajaan negeri menyasarkan untuk mencapai imuniti berkelompok sebanyak 80 peratus untuk rakyat negeri ini,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada hari pertama operasi pusat perubatan itu sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan Program Outreach Vaksinasi Covid 19 dilaksanakan dengan mengenal pasti beberapa kumpulan penerima vaksin yang memerlukan perkhidmatan capaian khas bagi memastikan tiada yang tercicir dalam urusan vaksinasi.

Melalui progran itu, kumpulan vaksinasi bergerak telah memulakan vaksinasi di rumah jagaan warga emas atau rumah jagaan khas dan akan memulakan urusan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi warga emas, orang kurang upaya yang berkeperluan khas.

Kerajaan negeri juga akan menyediakan 80 buah kenderaan pengangkutan yang mampu membawa 1,000 penerima vaksin ke PPV setiap hari untuk memudahkan golongan yang mempunyai kesukaran pengangkutan serta orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, Khairul Salleh berkata, Pusat Perubatan Ar-Ridzuan merupakan antara hospital swasta terawal yang membuka PPV bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Perak.

Katanya, PPV di pusat perubatan itu menyediakan suntikan vaksin Sinovac dan hari ini sebanyak 50 penerima vaksin fasa kedua menerima suntikan dos pertama, khususnya golongan warga emas dan penghidap sakit kronik.

“Ada yang keliru apabila menerima suntikan di PPV hospital swasta, namun vaksin ini percuma. Vaksin tidak dijual kepada mana-mana pihak kerana pemberiannya tertakluk di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurut Khairul Salleh, PPV di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan beroperasi setiap hari kecuali cuti umum perayaan utama bermula pukul 9 pagi sehingga 4 petang dan janji temu ditentukan melalui aplikasi MySejahtera.

“Pemberian jenis vaksin akan ditentukan berdasarkan penilaian soalan yang disediakan dalam aplikasi MySejahtera dan sistem akan mengenal pasti sama ada penerima mempunyai alahan bagi pemberian vaksin yang sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penerima vaksin dos pertama di PPV itu, Normah Mohd. Zahid, 68, yang menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis berkata, orang ramai khususnya golongan warga emas mesti menyahut seruan kerajaan untuk menerima vaksin bagi keselamatan bersama.

“Sesiapa yang menerima panggilan untuk suntikan vaksin, perlu hadir demi kesihatan dan keselamatan bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN