Gunung Kinabalu sudah stabil - Utusan Malaysia

Gunung Kinabalu sudah stabil

Prof Dr Felix Tongkul ketika membuat tinjauan kesan gempa bumi di Gunung Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas enam tahun insiden gempa bumi melanda Ranau, pendaki di Gunung Kinabalu tidak perlu lagi rasa bimbang dengan ancaman gempa bumi.

Keadaan di Gunung Kinabalu ketika ini sudah stabil biarpun masih ada beberapa gegaran susulan yang berlaku.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Geologi Sabah, Prof. Dr. Felix Tongkul berkata, ketika ini masih berlaku beberapa gempa bumi susulan yang bermagnitud antara 2.0 hingga 3.0 skala Richter di sekitar Gunung Kinabalu.

“Pendaki tidak perlu terlalu bimbang dengan ancaman gempa bumi. Tetapi, mereka masih perlu berhati-hati apabila berada di sana kerana gegaran kecil ini mungkin menyebabkan runtuhan batuan yang longgar,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, apa yang perlu dipertingkatkan adalah persediaan menghadapi gempa bumi oleh penduduk di kawasan berisiko tinggi.

“Penduduk di kawasan berisiko perlu tahu apa yang perlu dibuat sebelum, semasa mahupun selepas gempa bumi. Pihak bertanggungjawab juga perlu membuat persediaan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung, Danson Bulangai berkata, insiden gempa bumi 2015 sedikit sebanyak mengubah rutin mereka sebagai malim gunung.

Menurut beliau, jika dahulu tiada latihan simulasi gempa bumi, sekarang kebanyakan malim cukup terlatih melalui pasukan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) yang dijalankan pada setiap dua tahun.

Katanya, sebelum ini mereka hanya menjalani latihan penyelamatan pendaki yang mengalami kecederaan dan latihan ini juga dilakukan pada setiap bulan.

“Kini kebajikan malim gunung dan aspek keselamatan betul-betul dititikberatkan bagi memastikan ada persediaan yang rapi untuk berdepan dengan situasi yang berlaku,” katanya.

Beliau juga berharap peralatan dan kelengkapan yang perlu dalam operasi mencari dan menyelamat ditambah baik dan diselenggara secara berkala agar apabila berlaku kecemasan, segala peralatan diperlukan berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan.

Mengenai insiden kemalangan dan kecederaan di Gunung Kinabalu, Danson berkata, sebanyak 150 kes pemindahan dilakukan akibat kes-kes kecederaan direkodkan antara 2018 hingga 2019.

“Atas sebab itu, jangan pandang mudah aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu. Biarpun laluan pendakian tidak sukar namun tanpa persediaan rapi, pendaki akan mengalami kecederaan terutama sekali ketika dalam perjalanan  turun.

“Berdasarkan kes yang direkodkan, kebanyakan kecederaan berlaku kerana laluan pendakian agak licin pada laluan dua kilometer terakhir dari puncak menuju ke Laban Rata,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN