KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat sepatutnya berfungsi untuk melicinkan segala urusan dan pentadbiran kerajaan dalam keadaan negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, rakyat negara ini masih menerima kesan akibat pelaksanaan program vaksinasi yang perlahan dan dasar-dasar kerajaan yang kurang jelas.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara lain berkata, tindakan menahan dan menangkap golongan yang mengkritik dasar-dasar kerajaan atas alasan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa-Kuasa Perlu 2021 menunjukkan kerajaan seolah olah tidak adil kepada rakyat.
Ini termasuklah mereka yang berdepan hukuman dan ‘diugut’ hanya kerana mempersoalkan pihak yang mendapat kontrak dalam mengendalikan laman sesawang pendaftaran vaksin melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang gagal berfungsi dengan baik.
“Guna darurat sepatutnya untuk licinkan pentadbiran tetapi dera rakyat. Masalah kelembapan vaksin, mereka kata Selangor sudah diberikan 2.9 juta vaksin yang nasib baik dijelaskan kerajaan Selangor jumlahnya hanya lebih 600,000.
“Mereka kata akan dapat vaksin Mac dan suntik 75,000…yang dapat hanya 25,000 kemudian naik 45,000 pada April. Dengan jangkaan sekarang ini dan ikut unjuran tidak mungkin selesai akhir tahun,” katanya semasa menyampaikan amanat khas secara maya di sini hari ini.
Amanat khas yang berlangsung pada pukul 11 pagi tadi sebagai menggantikan perasmian Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-15 secara maya yang sepatutnya berakhir hari ini dengan ucapan penggulungannya bersama persidangan perwakilan.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat berbuat demikian setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menangguhkan kongres tersebut kepada 30 Jun ini berdasarkan pandangan diterima parti daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Semalam, Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan tergempar memaklumkan kongres parti tidak dapat diteruskan berikutan MKN menangguhkannya pada saat akhir seperti yang tertera pada surat bertarikh 4 Jun pukul 6.21 petang.
Katanya, arahan terbaharu itu bercanggah dengan surat mereka bertarikh 27 Mei lalu yang menyatakan MKN tiada halangan terhadap penganjuran kongres berkenaan secara dalam talian sepenuhnya.
Kongres PKR berlangsung selama tiga hari bermula bermula 4 Jun lalu dengan ucapan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti ucapan dasar Ketua Wanita, Datuk Fuziah Salleh manakala Kongres Angkatan Muda, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada hari kedua semalam.
Dalam pada itu, Anwar juga menyeru rakyat negara ini bangkit menuntut perubahan pentadbiran negara akibat kegagalan kerajaan menguruskan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan masyarakat merana.
“Nak kuasa tapi tidak boleh buat kerja dengan teratur…kesannya derita rakyat bertambah. Jumlah meninggal dunia, sakit, dalam unit rawatan rapi (ICU) dan positif Covid-19 semakin meningkat tetapi ujian besar-besaran belum ditingkatkan,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengulangi pendirian untuk tetap bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menumbangkan kerajaan.
“Kita kena tegas dan tak boleh bertolak ansur. Perdana menteri dan kerajaan bersilih ganti tetapi kita masih terpalit dengan isu mengumpul khazanah, mengumpul kekayaan untuk keluarga itu keluarga ini.
“Rasuah, kalau rakyat izinkan ini berlaku, bermakna negara akan terus dilanda krisis dan malapetaka amat dahsyat dan akhirnya negara tidak akan mendapat keberkatan untuk tangani Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE