`Sepandai pandai tupai melompat' Geng Bhai dicekup jua - Utusan Malaysia

`Sepandai pandai tupai melompat’ Geng Bhai dicekup jua

AFZANIZAR Ahmad (kanan) menunjukkan mesin pam air yang dicuri suspek ketika sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas lebih setahun menjalankan kegiatan mencuri barangan tapak binaan yang terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19, ‘geng Bhai’ akhirnya tumpas apabila lima individu termasuk pasangan kekasih dicekup polis, awal bulan ini. 

Kesemua suspek warga tempatan berusia 21 hingga 45 tahun itu diberkas dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana dan hotel di Batu Berendam, pada 3 Jun lalu. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, penangkapan kelima-lima suspek telah menyelesaikan sembilan kes kecurian di tapak binaan membabitkan nilai kerugian RM500,000. 

Katanya, hasil risikan, sepasukan pegawai serta anggota telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Cheng pada pukul 12.20 pagi dan menahan tiga lelaki. 

“Susulan penahanan itu, kita menyerbu sebuah hotel di Batu Berendam kira-kira 30 minit kemudian dah menahan dalang kumpulan digelar ‘Bhai’ berusia 42 tahun dan teman wanitanya 22 tahun. 

“Penahanan kesemua suspek telah menyelesaikan sembilan kes yang dilaporkan sejak Februari tahun lalu membabitkan kerugian bernilai kira-kira RM500,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini. 

Tambahnya, pasangan kekasih itu dipercayai cuba melarikan diri dengan menetap di hotel berkenaan apabila mengetahui ahli kumpulannya yang lain telah diberkas polis. 

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak Mac tahun lalu dan menyasarkan tapak kawasan pembinaan di Tanjung Minyak, Malim dan Tengkera yang terpaksa ditutup pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0. 

“Selain mencuri barang di tapak binaan, suspek turut mencuri pelbagai barangan di dalam rumah contoh projek pembinaan, termasuk perabot dan hiasan dalaman rumah. 

“Dalam serbuan di premis terlibat, kita turut menjumpai pelbagai barang yang dicuri termasuk  beberapa buah mesin pam air, pendingin hawa, kipas, lukisan, gerudi dan lampu sorot,” ujarnya.

Jelasnya, kebanyakan barang yang dicuri telah dijual oleh suspek kepada individu dan kedai kedai barangan lusuh semata-mata ingin mendapatkan wang membeli bekalan dadah. 

Katanya lagi, semakan lanjut terhadap ketua kumpulan itu mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan 10 kes membabitkan kesalahan dadah. 

Kesemua suspek kini direman selama 12 hari bermula 4 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN