KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan negeri mengarahkan pelesen menghentikan kerja-kerja pengusahasilan berhampiran Air Terjun Lata Y, Sungai Rek, Kuala Krai, susulan kawasan itu didapati terjejas teruk sehingga airnya bertukar menjadi kekuningan seperti teh tarik.
Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, pelesen juga diarah menanam pokok kekacang penutup bumi di bahagian tebing jalan yang terhakis bagi mengelak hakisan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.
Kata beliau, hasil semakan mendapati terdapat dua pelesen aktif pada masa ini yang berhampiran dengan kawasan itu iaitu kelulusan projek pembangunan ladang hutan dengan anggaran jarak projek dengan Lata Y, masing-masing 1 kilometer dan 1.2 kilometer.
“Semakan juga mendapati kedua-dua kawasan lesen ini mendapat kelulusan Laporan Kajian Penilaian kesan kepada Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar dan mereka juga didapati mematuhi segala syarat ditetapkan.
“Pihak pelesen juga tidak menebang sebarang pokok berhampiran kawasan buffer zone sungai seluas 50 meter, malah mengambil inisiatif menambah 10 meter lagi untuk tidak melakukan tebangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Abdul Khalim dalam pada itu menegaskan, keadaan air di Lata Y yang keruh dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu sehingga menghakis tebing sungai sekitar kawasan itu.
Menurut beliau, pemerhatian terkini pihaknya mendapati kualiti air di sekitar sungai tersebut tidak lagi kuning seperti dalam gambar yang ditularkan sebelum ini, sebaliknya jernih dan hampir pulih seperti sediakala.
Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya bercadang mewartakan mana-mana kawasan sensitif di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sungai Rek iaitu lokasi yang mudah tercemar disebabkan aktiviti perhutanan, sebagai kawasan tadahan air.
“Pada 11 Mei 1989, kerajaan negeri mewartakan 15,306 hektar tanah di situ sebagai HSK Sungai Rek, dengan kira-kira 3,784 hektar dijadikan kawasan tadahan air dan tambahan 1,490 hektar lagi untuk diwartakan sebagai kawasan tadahan air, manakala selebihnya adalah hutan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE










