KUALA TERENGGANU: Inisiatif Dapur Kampung Prihatin (DKP) yang diwujudkan oleh penduduk Kampung Pulau Manis di sini berjaya membantu 60 keluarga yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Wakil penduduk, Mohd. Rafi Kori berkata, sumbangan daripada pelbagai pihak berupa beras, minyak masak, telur, gula dan ikan segar itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.
“DKP kali ini merupakan kesinambungan daripada program yang dimulakan pada PKP 1.0 lalu dengan konsep yang sama iaitu penghantaran dari rumah ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, baru-baru ini terdapat individu yang menyumbangkan seekor lembu untuk diagihkan dagingnya kepada penduduk kampung.
“Usaha murni ini akan diteruskan bukan sahaja untuk kebajikan penduduk kampung, malah dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










