PONTIAN: Dalam sehari perniagaan mereka mampu meraih sehingga RM400 dengan berniaga di pasar malam atau mendapat sebanyak RM3,200 sebulan berdasarkan kepada lapan kali penganjuran pasar itu di satu lokasi.
Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu yang melarang aktiviti pasar malam, jumlah kerugian terkumpul ditanggung 130 peniaga di bandar Pontian, di sini sahaja sudah hampir mencecah RM500,000.
Pengerusi Persatuan Pasar Malam Pontian, Sidek Tamsir berkata, keperitan hidup mereka semakin menghimpit apabila tidak semua peniaga itu mempunyai sumber pendapatan selain berniaga di pasar malam untuk menyara keluarga.
Katanya, anggaran kerugian itu belum mengambil kira perniagaan pasar malam yang beroperasi seperti di Pekan Benut; Parit Markom; Parit Panjang; Parit Sikom; Kampung Seri Menanti; Pekan Nanas; Pekan Kukup Laut dan beberapa lokasi lagi.
“Mewakili suara peniaga pasar malam di daerah ini, kami berharap kerajaan mendengar rintihan mereka yang hanya menjalankan perniagaan seminggu dua kali bagi tempoh lima hingga enam jam sehari.
“Dengan sedikit pendapatan itu digunakan untuk membeli keperluan harian selain kad prabayar untuk anak-anak mereka mengikuti kelas pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan bakul makanan kepada ahli-ahlinya di sini, semalam.
Menurut Sidek, walaupun ada dalam kalangan mereka mengambil inisiatif berniaga di tepi jalan, pendapatan yang diperoleh sekadar menampung untuk perbelanjaan harian.
“Mereka perlu segera diberikan peluang untuk berniaga di pasar malam mengikut peraturan sebelum sekatan pergerakan penuh supaya boleh ‘bernafas’ kembali bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE