Buka kekosongan guru di Sabah untuk anak tempatan - Utusan Malaysia

Buka kekosongan guru di Sabah untuk anak tempatan

SAID SAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Lambakan graduan dalam bidang pendidikan bukan ‘tiket’ untuk mereka terus diserap menjadi guru kerana bukan semua graduan berminat dalam bidang perguruan.

Atas sebab itu, permohonan masih perlu dibuat biarpun berlaku kekosongan 18,000 guru di seluruh negara ketika ini.

Itu pandangan Presiden Kesatuan Guru Sabah (KGS), Said Saidi mengenai keperluan pengambilan khas guru secara one-off bermula 7 Julai ini.

Beliau berkata, pengambilan guru ini mengikut keperluan jadi, ia tidak boleh dibuka pada setiap masa.
Bagaimanapun, masih wujud persoalan sama ada kekosongan 18,000 ini mampu diisi sekaligus atau sebaliknya kerana Kementerian Pendidikan masih perlu melihat kepada bilangan calon yang berkelayakan.

“Memang banyak graduan pendidikan tapi kena ingat bukan semua berminat dengan bidang perguruan. Kita tidak mahu kerjaya guru ini dilihat sebagai pilihan akhir hanya kerana mereka tiada kerja.

“Maka, permohonan sebegini perlu dibuka bagi memastikan hanya individu yang benar-benar berminat dan berwibawa untuk menjadi warga pendidik sahaja yang diterima. Kita perlu memastikan kualiti seorang guru itu ada pada setiap calon yang memohon,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kata beliau, di Sabah isu kekurangan guru amat mendesak terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Apabila guru berpindah keluar dari kawasan pedalaman, guru pengganti yang diambil ada kalanya bukan berkemahiran dalam subjek yang diajar. Disinilah perlu ada penyelarasan untuk mengambil guru dalam kalangan anak tempatan.

“Kita menegaskan pengambilan guru perlu datang daripada kawasan setempat agar proses perpindahan tidak berlaku. Sabah sebenarnya berdepan kerugian apabila guru berpengalaman berpindah keluar dan jika tiada guru pengganti maka, kekosongan guru akan terus berlaku.

“Kita minta KPM memberi pertimbangan kepada kriteria ini apabila mengisi kekosongan guru di Sabah dan Sarawak. Biarlah penduduk setempat yang diambil menjadi guru di kawasan tersebut tapi, pada masa sama, kualiti guru itu perlu diambil kira,” katanya.

Menurut Said, pengambilan guru secara ramai-ramai ini tepat pada masanya kerana ketika ini sesi pengajaran dan pembelajaran (PdPR) masih dilaksanakan dan apabila sesi persekolahan dibuka kelak, tiada lagi isu kekurangan guru dibangkitkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya