Brunei sumbang RM1.7 juta kepada Malaysia untuk bantuan Covid-19 - Utusan Malaysia

Brunei sumbang RM1.7 juta kepada Malaysia untuk bantuan Covid-19

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Brunei memberi sumbangan berjumlah RM1.7 juta kepada Malaysia untuk keperluan kesihatan semasa pandemik Covid-19 di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sumbangan berkenaan adalah dalam bentuk alat bantuan pernafasan dan ujian saringan Reverse Transcriptase-​Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang akan ditempatkan di hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak bermula bulan depan.

Menurut beliau, sumbangan Brunei itu mempamerkan hubungan diplomatik erat dan istimewa yang terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara sekali gus menunjukkan komitmen tinggi sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis Covid-19.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan negara itu sebagai negara jiran terdekat Malaysia.

“Saya berharap sumbangan yang berharga ini akan membantu sistem kesihatan Malaysia di Labuan, Sabah dan Sarawak dalam mendepani situasi semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd. Yusof, Menteri Luar Negeri II Negara Brunei Darussalam berkenaan sumbangan tersebut.

Hishammuddin berkata, Malaysia amat menghargai sokongan penuh dan kerjasama berterusan daripada Kerajaan Brunei Darussalam dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Melalui sumbangan itu, beliau percaya hubungan sedia ada antara kedua-dua negara diperkukuhkan lagi demi kepentingan rakyat masing-masing.

“Datuk Erywan dan saya juga memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dan saling membantu terutamanya dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ini.

“Sejak Mac 2020, Brunei merupakan antara negara pertama yang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendepani cabaran serta impak berikutan penularan pandemik,” katanya.

Menurut beliau, antara kerjasama itu termasuklah beberapa misi repatriasi rakyat kedua-dua negara dari Arab Saudi, India, Kemboja, Mesir, dan Sri Lanka serta memudah cara urusan pulang rakyat kedua-dua negara ke Malaysia dan Brunei. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya