KUALA LUMPUR : Datuk Mohamad Nizar Najib iaitu anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju menyelesaikan cukai taksiran tambahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar sejumlah RM13.16 juta bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.
Menurut peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Mohamad Nizar, anak guamnya telah mencapai persetujuan bagi menyelesaikan kes itu dengan LHDN.
“Sepatutnya perintah persetujuan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan pada Khamis lalu namun dijadualkan semula 4 Ogos ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada media semalam.
Terdahulu, prosiding pengurusan kes berhubung rayuan Mohamad Nizar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya, Mariam Hasanah Othman berlangsung secara dalam talian.
Prosiding itu disertai peguam Muhammad Nabil Abdul Halim bagi pihak LHDN dan peguam mewakili Mohamad Nizar.
Dalam pada itu, Yeong Kang memaklumkan tarikh 3 Jun ini ditetapkan untuk pengurusan kes untuk mengetahui sama ada permohonan anak guamnya bagi melapangkan tarikh pendengaran rayuan yang dijadualkan pada 16 Jun ini dibenarkan oleh mahkamah.
Ia sementara menunggu perintah persetujuan direkodkan.
Pada 11 Ogos 2020, Mohamad Nizar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Ogos tahun sama yang membenarkan permohonan LHDN meendapatkan penghakiman terus terhadap Mohamad Nizar.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Julie Lack Abdullah memutuskan perkara yang dibangkitkan Mohamad Nizar tidak mempunyai merit dan tidak berasas selain berpendapat pembayar cukai perlu membayar cukainya dahulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah tersebut atau atas apa alasan sekali pun.
Pada 24 Julai 2019, LHDN melalui kerajaan Malaysia telah memfailkan writ saman terhadap Mohamad Nizar, menuntutnya membayar cukai berjumlah RM13,159,821.94 bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017. – UTUSAN ONLINE










