8.4 juta penerima BPR Tambahan terima bayaran hari ini - Utusan Malaysia

8.4 juta penerima BPR Tambahan terima bayaran hari ini

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mula menerima bayaran bantuan itu secara berperingkat mulai hari ini iaitu BPR Tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.

Beliau berkata, sebelum ini kesemua penerima bantuan berkenaan telah pun memperoleh bantuan itu dalam Fasa 1 dan Fasa 2 berjumlah RM4.68 bilion pada Februari dan Mei lalu.

“Mengambil kira pembayaran Fasa 1, Fasa 2 dan BPR Tambahan, bantuan tunai yang disediakan sehingga kini kepada hampir 8.4 juta penerima adalah sebanyak RM6.78 bilion.

“Jangkaan pembayaran Fasa 3 pula pada September depan dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion. Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM9.1 bilion disediakan kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan berharap agar bantuan tunai ini akan meringankan beban golongan B40 terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini.

Bagi isi rumah, warga emas dan individu bujang, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank bermula hari ini hingga 2 Julai manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak) boleh mendapatkan bantuan itu melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya